Berita

KLFA tewaskan Sarawak United

ABDUL AZIM ledakkan dua gol untuk pastikan KLFA tumpaskan Sarawak United di Stadium Negeri, Kuching malam ini.
- Diterbit 14 Mac 2020 4:00 PM MYT

KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur FA mencatatkan kemenangan bergaya apabila menewaskan pasukan Sarawak United 2-1 pada saingan Liga Perdana yang berlangsung di Stadium Sarawak, Kuching malam ini.

Pelawat mendahului perlawanan menerusi jaringan dicipta penyerang, Abdul Azim Rahim pada minit ke-33 gara-gara kesilapan mudah di barisan pertahanan, sekali gus membolehkan dia menggunakan peluang terhidang menewaskan penjaga gol lawan.

Bersambung babak kedua, tuan rumah melakukan asakan bertubi-tubi ke kubu lawan dan akhirnya bekas penyerang kebangsaan, Amri Yahyah meledak gol penyamaan buat Sarawak United pada minit ke-52 menerusi sepakan cantik ke sebelah kiri gol.

Meskipun beraksi di stadium kosong, kelincahan Abdul Azim sekali lagi gagal dibendung pertahanan lawan apabila dia melakukan larian pantas dan mudah mencungkil masuk gol kedua buat The City Boys pada minit ke-73.

Keputusan 2-1 itu kekal hingga wisel penamat dibunyikan, sekali gus membolehkan Kuala Lumpur mengutip tiga mata penuh di tempat lawan.

Ketua Jurulatih KLFA, Nidzam Adha Yusoff menjelaskan, meskipun pasukannya tidak dapat menjalani latihan sebelum perlawanan, namun pemain dapat menerima corak permainan yang diterapkan dengan cepat.

“Tahniah kepada pemain, kredit juga harus diberikan kepada mereka kerana kita tidak sempat melakukan latihan dan padang latihan.

“Tapi kita menukar formasi dan corak permainan, malah pemain dapat menerimanya dengan cepat.

“Alhamdulillah kita berjaya mengutip tiga penuh buat pertama kali di tempat lawan daripada empat perlawanan,” kata Nidzam. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas