Berita

Zii Jia terkandas di separuh akhir

ZII Jia tertiarap selepas gagal menampan serangan Axelsen dalam satu rally yang panjang pada aksi separuh akhir Seluruh England 2020 hari ini.
- Diterbit 14 Mac 2020 12:11 PM MYT

KUALA LUMPUR – Hasrat pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia untuk mara ke final Seluruh England tidak kesampaian apabila ditundukkan pemain Denmark, Viktor Axelsen, 17-21, 21-13, 21-19 pada aksi mendebarkan yang berlangsung di Arena Birmingham, hari ini.

Pertarungan yang diheret hingga set penentuan selama 1 jam 13 minit itu menyaksikan kedua-dua pemain berhempas-pulas untuk mengutip mata, namun ternyata ia lebih memihak kepada Axelsen.

Zii Jia yang kini menghuni ranking ke-13 dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) terlebih dulu mengorak langkah apabila memenangi set pertama, 21-17, namun Axelsen yang juga pilihan kedua kejohanan bangkit memenangi set kedua, 21-13.

Pertembungan di set penentuan lebih menarik apabila masing-masing mengejar mata namun Axelsen yang menghuni ranking ketujuh dunia BWF, lebih pantas menggunakan peluang  untuk memenangi set itu dengan keputusan 21-19.

Semalam, Zii Jia mengesahkan slot ke peringkat separuh akhir selepas menumbangkan bekas pemain nombor satu dunia yang juga pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio, Brazil 2016, Chen Long, 21-12, 21-18.

Bekas juara dunia, Viktor Axelsen dari Denmark pula memenangi pusingan suku akhir selepas menewaskan Shi Yu Qi dari China, 21-15, 21-7.

Terdahulu Zii Jia mara ke peringkat suku akhir apabila mengetepikan Lu Guang Zu dari China dengan keputusan 21-10, 21-16 pada aksi pusingan kedua, selain melakar kemenangan di pusingan pertama apabila menundukkan Jonatan Christie dari Indonesia, 21-15, 21-13.

Kali terakhir perseorangan negara bergelar juara Seluruh England adalah menerusi Datuk Lee Chong Wei pada 2017.

Legenda negara itu juga pernah menjulang trofi berkenaan pada 2010, 2011 dan 2014.

Sementara itu, dalam acara beregu lelaki pula, gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik menamatkan kempen selepas tewas kepada pasangan nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo 17-21, 19-21 di peringkat suku akhir. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas