WK2

Taman Tasik Danau Kota terap konsep urban oasis

PERMANDANGAN Tasik Danau Kota pada waktu petang.
- Diterbit 11 Februari 2020 5:37 AM MYT

PROJEK pengindahan Taman Tasik Danau Kota merupakan sebuah bukti bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil berat mengenai kehidupan masyarakat yang memerlukan sebuah kawasan riadah sebagai keperluan kehidupan masa kini.

SUHANA

Pengarah Jabatan Pembangunan Landskap dan Rekreasi DBKL, Suhana Abd. Malek berkata, inisiatif pembinaan taman tasik ini adalah untuk memupuk minat dan meningkatkan kesedaran warga kota terhadap kepentingan menjaga kesihatan.

“Dengan adanya pusat riadah ini orang awam boleh melakukan aktiviti bersukan bersama teman-teman dan ahli keluarga.

“Selain mengamalkan gaya hidup sihat, pembinaan taman tasik ini juga menjadi bukti DBKL amat menitik beratkan kehidupan dan keperluan masyarakat di bandar raya ini.” katanya baru-baru ini.

Kata Suhana lagi, pembinaan taman tasik ini juga sejajar dengan hala tuju Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) yang mahu menjadikan Malaysia sebagai ‘Negara Dalam Taman’.

“Penubuhan Majlis Negara Taman menjadi fokus dan hala tuju Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad dan pembukaan taman tasik ini merupakan satu kejayaan kepada DBKL dan KWP.

“Pembangunan ini juga mengambil kira semua lapisan masyarakat dan sekaligus menjadikan taman ini mesra keluarga,” katanya.

Ujar Suhana, kawasan berkeluasan 13.25 hektar merangkumi kawasan kolam takungan seluas 6.95 hektar itu dibangunkan dengan kos lebih RM5.5 juta.

“Konsep pembangunan taman tasik ini bercirikan konsep urban oasis taman kejiranan yang menekankan aspek keharmonian, integrasi kehijauan dan keseimbangan alam di dalam kawasan bandar.

“Pembangunan ini merangkumi dua fasa iaitu fasa pertama melibatkan pembangunan infra asas, kerja tanah, landskap, laluan trek joging dan pembaikan pagar keselamatan yang mengambil masa dua tahun dari 2012 hingga 2014 dengan kos RM2 juta.

“Pembangunan fasa kedua pula melibatkan kerja-kerja naik taraf kemudahan taman seperti pejabat taman, kawasan parkir kereta, taman permainan, wakaf dan plaza yang melibatkan kos kira-kira RM3.5 juta dan mengambil masa dua tahun dari 2017 hingga 2019.” katanya.

Taman tersebut telah dirasmikan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan pada 13 Oktober 2019.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas