Berita

Agensi, jabatan perlu beri kerjasama jayakan transformasi digital negara – Gobind

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 23 April 2024 2:40 PM MYT

SEMUA agensi dan jabatan di bawah Kementerian Digital diingatkan untuk terus fokus dan memberikan kerjasama jitu bagi membolehkan usaha transformasi digital negara berjalan lancar.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata setakat lima bulan pertama menerajui kementerian itu, beberapa perancangan telah dijayakan namun masih banyak gerak kerja yang perlu dilakukan supaya objektif kementerian tercapai.

“Kita dapat lihat kerjasama kukuh untuk kita realisasi objektif kita dalam kementerian ini. Setakat sekarang, cukup kerjasama yang saya terima dan saya lihat pasukan cukup komited.

“Saya selaku menteri mohon semua bersatu menuju ke arah setiap insiatif (dirancang) kementerian ini,” katanya kepada pemberita pada sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Digital di sini hari ini, yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada Disember tahun lepas, Anwar dilapor berkata Kementerian Digital dibentuk untuk menerajui usaha transformasi digital supaya negara tidak ketinggalan dan dapat bersaing pantas.

Antara agensi dan jabatan di bawah Kementerian Digital adalah Jabatan Digital Negara, MYNIC Berhad (MYNIC), Jabatan Perlindungan Data Peribadi dan CyberSecurity Malaysia.

Sementara itu, Gobind turut merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana sudi menyantuni warga Kementerian Digital pada sambutan Hari Raya Aidilfitri hari ini.

“Saya ambil peluang ucap terima kasih kepada Perdana Menteri kerana sudi hadir bersama dan ia penanda aras cukup baik untuk kita. Ia beri semangat kepada warga kementerian,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas