Selebriti

Khai Bahar tak kisah kritikan orang

KHAI yakin mampu beri persembahan terbaik di Istana Budaya Mac ini
- Diterbit 11 Februari 2020 6:09 AM MYT

PENGLIBATAN penyanyi lelaki popular Khai Bahar dalam industri seni tanah air baru memasuki tahun keempat, namun pencapaiannya boleh dikatakan amat membanggakan.

Bukan sahaja cemerlang menerusi deretan anugerah yang dimenangi malah pemilik nama Muhammad Khairul Baharuddin atau lebih dikenali sebagai Khai Bahar berjaya meletakkan dirinya sebagai pelapis kepada penyanyi sedia ada.

Meskipun bermula dari aplikasi Smule, penyanyi berusia 25 tahun ini membuktikan bakat yang ada pada dirinya mampu membuatkan namanya diiktiraf dalam industri seni tanah air.

Buktinya, Khai yang popular menerusi lagu Luluh ini telah dipilih oleh pihak Istana Budaya bagi membuat persembahan pentas buat julung-julung kalinya di bawah penganjuran produksi Ogy Ventures milik pengarah dan pelakon terkenal, Fauziah Ahmad Daud pada Mac ini.

Saat ditanya adakah dia tidak risau dengan tanggapan negatif mereka di luar sana tentang kemampuannya untuk membuat persembahan di pentas Istana Budaya, Khai mempunyai jawapan tersendiri.

“Saya anggap ini adalah rezeki. Biarpun boleh dikategorikan masih baharu lagi dalam industri, saya tidak mahu melepaskan peluang membuat konsert di pentas itu. Saya juga yakin semua penghibur mengimpikan perkara yang sama.

“Peluang sebegini bukan selalu kita dapat. Jadi apabila sudah terhidang di depan mata dan orang sudah beri peluang, saya harus rebut. Saya tidak takut dengan kritikan atau tanggapan orang terhadap saya kerana apa yang ada dalam fikiran ialah saya mahu keluar daripada zon selesa,” ujar Khai.

Tambahnya, peluang itu adalah suatu yang besar dalam dunia kerjaya seninya. Lebih-lebih lagi berpeluang mempelajari belajar ilmu baharu daripada orang lama dan lebih berpengalaman seperti Fauziah Ahmad Daud atau popular dengan panggilan Kak Ogy.

“Nama Ogy Ahmad Daud adalah satu nama besar dalam industri hiburan walaupun dia terkenal dengan ketegasan dan kelantangannya dalam memberikan kritikan, saya yakin dengan caranya.

“Saya juga sudah bersedia untuk menerima ketegasan menerusi latihan yang bakal diberikan oleh Kak Ogy. Lagipun ia adalah untuk kebaikan diri juga kerana saya mahu peminat melihat Khai Bahar dari sisi yang berbeza,” ujar jejaka yang berasal dari Kangar, Perlis ini.

Untuk itu, bagi memberikan sesuatu yang bermakna buat peminat yang hadir memberikan sokongan, dia juga bakal menjalani latihan selama dua bulan untuk konsert tersebut. “Sejujurnya saya bersyukur kerana Kak Ogy dapat melihat bakat yang ada dalam diri ini dan sudi untuk mendidik saya ke arah yang lebih baik,” kata pemenang Anugerah Meletop Era 2019 ini.

Untuk Konsert Khai Bahar: Smule Ke Pentas Dunia yang bakal membuka pentas pada 27 dan 28 Mac, Khai akan menyampaikan 20 lagu yang terdiri daripada lagu-lagu popularnya dan medley selama dua jam.

Tiket boleh didapati di www. airasiaredtix.com bermula dengan harga RM86, RM116, RM236, RM276, RM296, RM366, RM466 dan RM556 (Gold).

Mereka yang membeli tiket berharga RM556 berpeluang untuk berjumpa dan mengabadikan kenangan bersama Khai selepas konsert.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas