WK2

Tukar lombong terbiar jadi pusat rekreasi warga kota

PANDANGAN dari udara sekitar Taman Tasik Danau Kota selepas dinaik taraf dengan kemudahan lebih cantik dan selesa.
- Diterbit 11 Februari 2020 5:32 AM MYT

KOTA metropolitan Kuala Lumpur ini mempunyai pelbagai tarikan menarik untuk setiap warganya sama ada untuk beriadah, bersantai mahupun melepaskan tekanan setelah menempuh hari-hari yang penuh mencabar.

Tarikan terbaharu, Taman Tasik Danau Kota yang kini menjadi kebanggaan penduduk setempat merupakan satu lokasi menarik untuk seisi keluarga amat menarik untuk diketahui sejarahnya.

Kawasan yang sebelum ini hanyalah sebuah lombong terbiar yang dipenuhi rumput-rumpai dan pohon keladi yang menutupi permukaannya selain menjadi tempat pembuangan sampah oleh penduduk yang tidak bertanggungjawab.

Melalui inisiatif yang diambil oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kawasan yang dahulunya dipandang sepi kini berubah menjadi taman awam yang menarik untuk bersantai, beriadah dan melakukan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Projek pembersihan dan memperindah tasik ini menelan belanja jutaan ringgit yang sememangnya menghasilkan sebuah tempat ‘lepak’ untuk penduduk setempat selain DBKL turut membina trek untuk pejalan kaki berjoging.

PANORAMA tasik yang bersih dan redup selepas dinaik taraf.

Pembangunan taman ini yang mengambil kira konsep mesra pengguna daripada segi susun atur reka bentuk landskap dengan dilengkapi Taman Permainan Kanak-Kanak (TPKK) yang berkonsepkan ‘water play area’, wakaf, bangku konkrit dan granite, tandas awam, pejabat taman, parkir, boulevard dan plaza.

Hasil daripada projek pengindahan ini, penduduk setempat mengibaratkan ia sebagai sebuah ‘hadiah’ kerana senibina landskap yang menarik dan moden selain kawasan tasik yang dipagari deretan apartment servis.

Malah ia umpama sebuah cermin gergasi kerana strukur bangunan dapat dilihat dengan jelas di permukaan tasik ini selain pokok-pokok rendang yang mendamaikan suasana serta menambah kecantikan taman tasik ini.

Bersebelahan kompleks membeli belah ‘Setapak Central dan Surau Al-Falah, ia merupakan kawasan yang strategik dan menjadikan taman tasik ini pilihan pelbagai lapisan masyarakat untuk beriadah dan apabila penat beriadah, pengunjung boleh membeli-belah dan sekiranya hendak bersolat, mereka boleh menggunakan surau berdekatan.

Selain itu, berhampiran kawasan ini juga terdapat banyak tempat makan yang berhampiran termasuklah restoran, gerai, food trucks ataupun bersantai di sebuah restoran makanan segera yang berdekatan.

Diharapkan dengan kemudahan ini, orang ramai dapat memulihara dan memanfaatkannya dengan baik. Pelaburan yang dilakukan pihak DBKL ini bukanlah berbentuk keuntungan kewangan sebaliknya untuk memakmurkan masyarakat kota sesuai dengan tema ‘Wilayah Peduli, Harapan Dipenuhi’ yang membentuk membentuk suasana peduli, sihat dan selamat ke atas semua warganya.

GOLONGAN remaja bersantai bersama rakan-rakan di sekitar tasik.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas