Berita

Tahap boleh jangkit Covid-19 turun ke 0.3

- Diterbit 13 Mei 2020 1:53 PM MYT

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan memaklumkan nilai ‘R naught’ (R0) atau kebolehjangkitan Covid-19 ketika ini turun pada tahap 0.3.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, nilai R itu merekodkan penurunan berbanding
3.5 pada permulaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

“Penurunan ini susulan impak positif tindakan yang diambil oleh kerajaan serta dibantu juga dengan pematuhan
oleh rakyat.

“Sekiranya semua pihak termasuk peniaga, majikan, pekerja serta masyarakat umum kekal patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan, nilai R ini akan terus menurun dan hasilnya wabak Covid-19 akan dapat ditamatkan.

“Namun jika masyarakat leka, tidak patuh dan ingkar kepada SOP yang ditetapkan, nilai R akan meningkat
semula sekali gus mengakibatkan jumlah kes harian naik semula di dalam negara,” katanya dalam sidang akhbar
harian hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, R naught merujuk kepada kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak iaitu secara puratanya berapa ramai orang yang boleh dijangkiti oleh kes berkenaan.

“Misalnya, jika nilai R adalah 4, ini bermakna bahawa setiap seorang kes positif boleh menyebarkan penyakit
ini kepada empat orang yang lain.

“Nilai R boleh menurun sekiranya langkah pencegahan yang tepat dijalankan secara berterusan dalam
masyarakat.

“Nilai ini boleh meningkat semula sekiranya masyarakat leka dan langkah pencegahan tidak diendahkan.
Menurunkan nilai R kepada kurang daripada 1 secara berterusan akan membantu mengakhiri sesuatu wabak,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas