Berita

Prihatin nasib rakyat, Giant Malaysia anjur kempen ‘Sudah Makan’?

Lee Yik Hun
- Diterbit 25 Ogos 2022 2:14 AM MYT

PEKA terhadap nasib rakyat terkesan dengan kedaaan ekonomi sekarang, Giant Malaysia melancarkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) lebihan makanan dan kempen ‘Sudah Makan?’ di Giant Hypermarket Setapak, Kuala Lumpur, semalam.

Menerusi kempen itu, Giant Malaysia menyasar untuk menyediakan 500,000 hidangan makanan menjelang akhir tahun depan dengan kerjasama The Lost Food Project (TLFP).

Selain itu, ia juga akan menyumbang 10 sen untuk pembelian setiap kilogram beras jenama Meadow kepada mereka yang memerlukan.

Pengarah Pemasaran (Makanan) Asia Tenggara DFI Retail Group, Lee Yik Hun berkata, kempen ‘Sudah Makan?’ itu tidak hanya tertakluk kepada semua produk beras Meadows yang dijual di Giant, tetapi turut juga merangkumi semua pasaraya Cold Storage, Mercato dan TMS di Malaysia.

“Malah, saya juga dengan berbesar hati ingin mengumumkan bahawa dalam usaha untuk mencapai matlamat membekalkan 500,000 hidangan makanan kepada mereka yang memerlukan, kami akan mengembangkan program sumbangan makanan Giant bersama TLFP dengan menambah 12 pasar raya lagi bagi meningkatkan jumlah lebihan makanan yang disumbangkan.

“Peningkatan ini adalah perlu kerana kini terdapat lebih banyak keluarga yang memerlukan bantuan, terutamanya pasca pandemik, di mana lebih ramai dalam komuniti kami telah terjejas,” katanya ketika ditemui media.

PENGARAH Pemasaran (Makanan) Asia Tenggara DFI Retail Group, Lee Yik Hun, sentiasa prihatin dengan nasib masyarakat.

Bukan itu sahaja, demi memenuhi keperluan rakyat, Giant Malaysia merancang untuk membuka empat lagi Giant Mini bulan depan, menjadikan jumlah keseluruhan perniagaan kedai runcit terbaharunya itu negara ini sebanyak 50 cawangan.

Menurut Lee Yik Hun, pihaknya kini sedang giat mengembangkan kehadiran Giant Mini selepas mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat.

Katanya, salah satu sebab utama pihaknya membuka kedai berkonsepkan runcit seperti Giant Mini ini adalah untuk memberi kemudahan dari segi akses kepada masyarakat.

“Ramai pelanggan kami mengatakan harga produk yang dijual di Giant adalah murah dan berpatutan, produk juga bagus tetapi lokasinya jauh.

“Maka, kami mahu membawa pengalaman mereka membeli belah di Giant kepada masyarakat berdekatan menerusi pbukaan kedai runcit sebegini.

“Malah, majoriti produk dan barangan yang dijual di Giant Mini adalah sama dari segi harga dengan yang dijual di pasar raya Giant. Ia menawarkan lebih 4,000 produk unit simpanan stok (SKU) bergantung kepada saiz kedai,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas