Berita

33 individu ditahan minum arak

PENGUAT kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita peralatan sebuah kelab malam dalam satu operasi awal pagi ini.
- Diterbit 25 Ogos 2022 8:13 AM MYT

SERAMAI 33 individu dipercayai beragama Islam ditahan dalam satu Operasi Bersepadu Premis Hiburan awal pagi ini.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan berkata tindakan yang diambil Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melibatkan 25 orang lelaki dan lapan wanita ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan syariah berkaitan minum minuman yang memabukkan.

“Mereka ditahan untuk tindakan lanjut serta JAWI telah mengeluarkan 50 Surat Perintah Hadir (SPH) kepada individu beragama Islam untuk hadir ke Bahagian Penguatkuasaan JAWI menerusi Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Akta 559),” katanya dalam hantaran di laman Facebook DBKL hari ini.

SEORANG pengunjung sedang menjalani ujian pengesanan kadar kandungan alkohol di sebuah kelab malam dalam satu operasi bersepadu pagi ini.

Kata kenyataan itu, operasi tersebut dilaksanakan di sekitar Jalan Imbi, Jalan Metro Pudu, Jalan Radin Bagus dan Jalan Radin Tengah, Kuala Lumpur bermula pukul 10 malam tadi dan berakhir pada pukul 3 pagi tadi.

“Selain semakan dan pemeriksaan di tujuh buah premis hiburan bersama pasukan agensi sahabat, pemeriksaan turut dilakukan ke atas pengunjung dan pelanggan yang hadir melibatkan warganegara asing dan warganegara tempatan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, DBKL turut mengambil tindakan menutup tiga buah premis serta-merta dan menyita peralatan di bawah Seksyen 17, Akta Hiburan 1992.

“17 peralatan yang di sita terdiri daripada monitor, DJ spinner, komputer riba, mixer, speaker, lighting controller, cctv decoder, microphone, mic controller dan power amplifier.

“DBKL juga membuka tiga kertas siasatan (IP) di bawah Seksyen 4(1)(a) dan 4(1)(b) kerana mengadakan aktiviti hiburan (muzik/DJ) tanpa kebenaran.

“Satu notis kompaun di bawah Kaedah 29(2), Kaedah-Kaedah Hiburan (WPKL) 1993 turut di keluarkan kerana membenarkan pengunjung bawah umur memasuki premis hiburan (kelab malam),” kata kenyataan itu.

Tambahnya, barangan peralatan muzik telah dihantar ke Setor Sitaan DBKL di Jalan Lombong Taman Miharja, Cheras bagi tujuan rekod dan penyimpanan sementara.

Operasi tersebut dilaksanakan oleh DBKL menerusi Jabatan Penguatkuasaan (JPK) dan Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan (JPPP) dengan kerjasama agensi sahabat terdiri daripada JAWI, Polis Kuala Lumpur, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan JIM Wilayah Persekutuan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas