Berita

Integriti nadi utama pastikan Malaysia hebat di persada dunia – KSN

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 29 Februari 2024 9:45 PM MYT

AMALAN integriti dalam kalangan rakyat dilihat sebagai nadi atau asas utama dalam merealisasikan hasrat Kerajaan Perpaduan menjadikan Malaysia lebih hebat di persada dunia, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Beliau berkata melalui amalan itu, kedudukan negara dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) yang dikeluarkan oleh Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) yang meletakkan negara di tangga ke-27 pada 2023, meningkat daripada kedudukan 32 pada 2022 dan kedudukan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang meningkat daripada kedudukan ke-61 pada 2022 ke tempat 57 pada 2023.

“Oleh yang demikian, saya melihat bahawa keterlibatan sektor awam dan swasta dalam membudayakan integriti khususnya melalui penyertaan dalam Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) ini adalah antara perjalanan ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan,” katanya ketika berucap pada majlis AIGA 2023 di sini hari ini.

Mohd Zuki, yang juga Pengerusi Institut Integriti Malaysia (IIM), berkata pelaksanaan AIGA oleh institut itu adalah selaras dengan Pelan Strategik IIM 2024-2034 untuk menjadikan IIM sebagai sebuah badan penilaian serta pengiktirafan integriti dan tatakelola.

Beliau berkata selari dengan moto baharu iaitu ‘Komited Membudayakan Integriti,’ Pelan Strategik IIM dirangka dan dibangunkan bagi menyokong serta mendukung Kerajaan Perpaduan dalam mempertingkat integriti dan tatakelola negara.

AIGA 2023 akan memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada sektor awam serta swasta yang menzahirkan komitmen dalam pembudayaan dan pengamalan integriti, tadbir urus terbaik selain inisiatif antirasuah dalam organisasi masing-masing.

Mohd Zuki juga berkata sebanyak 154 organisasi dari seluruh negara yang terdiri daripada 95 agensi sektor awam dan 59 dari sektor swasta menyertai AIGA 2023.

“Terdapat peningkatan sebanyak 38 peratus berbanding tahun 2022 yang hanya disertai 116 organisasi di seluruh negara.

“Saya amat berharap pelaksanaan AIGA ini akan berjaya menyuntik semangat dan komitmen berterusan terutama kepada semua organisasi sama ada awam mahupun swasta untuk mempertingkat sistem pengurusan kawalan dalaman dan tadbir urus masing-masing,” katanya.

AIGA 2023 turut memperkenal anugerah khas iaitu ‘Pengamal Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Berintegriti Terbaik selain Penghargaan Khas Integriti.

Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas