Berita

Forum keluarga dan trend mega global platform KPWKM pelajari amalan negara lain

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 29 Februari 2024 9:35 PM MYT

FORUM Keluarga dan Trend Mega Global Antarabangsa menjadi platform terbaik untuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengambil teladan daripada amalan negara lain dalam berhadapan cabaran trend mega global yang memberi kesan kepada institusi keluarga.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata forum yang julung kali diadakan di Malaysia itu menghimpunkan beberapa pakar dari beberapa negara antaranya Korea, Thailand, Jepun , India, China dan Nepal dalam pelbagai bidang, antaranya demografi, kekeluargaan, perubahan iklim dan kesihatan reproduktif.

“Saya rasa program seperti ini perlu kerap diadakan kerana ia memberi galakan kepada kita untuk mendapatkan idea selain belajar daripada mereka tentang topik yang dibincangkan (kesan trend mega global kepada institusi keluarga),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup forum berkenaan di sini hari ini.

Forum Keluarga dan Trend Mega Global Antarabangsa diadakan sempena sambutan Hari Keluarga Antarabangsa ke-30 anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Jabatan Hal Ehwal Ekonomi dan Sosial, Persekutuan Antarabangsa untuk Pembangunan Keluarga (IFFD) dan Institut Keluarga Antarabangsa Doha (DIFI).

Mengulas tentang trend mega global yang berlaku seperti migrasi, perubahan iklim, pembandaran, kemajuan teknologi serta transisi demografi, Nancy berkata trend berkenaan sangat mempengaruhi dan memberi kesan kepada institusi keluarga di dunia termasuk Malaysia.

Beliau berkata perubahan itu memerlukan pengaturan penjagaan, tahap kewangan yang sentiasa dikemas kini serta bimbingan kepada keluarga supaya dapat menonjolkan peranan masing-masing selari dengan perubahan semasa. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas