Berita

Kerajaan komited manfaat teknologi perkukuh aspek integriti

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 29 Februari 2024 10:10 PM MYT

KERAJAAN komited dalam memanfaatkan teknologi bagi memperkukuh inisiatif integriti, tatakelola baik dan pencegahan rasuah, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu berkata inisiatif seperti perkhidmatan e-Kerajaan, aplikasi rantaian blok serta analisis data juga sedang diteroka bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti kerana dalam era digital, teknologi memberikan cabaran serta peluang dalam meningkatkan integriti dan tatakelola baik selain memerangi rasuah.

“Organisasi awam dan swasta boleh memanfaatkan kuasa teknologi untuk meningkatkan ketelusan, menyelaraskan proses dan membangunkan sistem yang lebih bertanggungjawab dan efisien. (Ini kerana) menerima kemajuan teknologi boleh merevolusikan cara kita meningkatkan integriti dan tatakelola yang baik.

“Mungkin platform Tech for Integrity (T4I) di bawah Inisiatif Perkongsian Menentang Rasuah (PACI) Forum Ekonomi Dunia boleh dijadikan sumber rujukan atau ilham bagi mempercepat usaha pencegahan rasuah, mengurangkan jumlah masa yang diperlukan, meningkatkan integriti dan tatakelola baik, pada masa sama memberi impak yang ketara,” katanya ketika berucap merasmikan Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2023 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Fadillah berkata Kerajaan Perpaduan komited dalam mempertingkat integriti dan tatakelola baik Malaysia selain membanteras jenayah rasuah dalam negara tanpa mengira status serta kedudukan.

Beliau berkata perkara ini terbukti apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan  Arahan YAB Perdana Menteri No 1 Tahun 2023 Gerakan Pemantapan Tatakelola Nasional: Penubuhan Jawatankuasa Tatakelola Di Peringkat Persekutuan, Negeri dan Kementerian/Jabatan/Agensi Kerajaan.

“Arahan YAB PM ini diperkukuhkan lagi melalui penubuhan sebuah Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional yang berperanan menangani isu kelemahan tatakelola yang boleh menyebabkan ketirisan wang kerajaan, pembaziran serta risiko rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa,” katanya.

Fadillah turut menekankan pembudayaan integriti dalam landskap Malaysia bukan sekadar agenda malah adalah misi yang memerlukan usaha kolektif dan berterusan selain menuntut dedikasi berpanjangan.

Menyentuh mengenai AIGA anjuran Institut Integriti Malaysia (IIM), beliau berkata anugerah itu berfungsi sebagai pengiktirafan dan penghargaan bagi organisasi yang telah menerima cabaran untuk menyemai budaya integriti.

“Majlis anugerah ini bukan sekadar meraikan kejayaan dalam kalangan pemenang anugerah sebaliknya ia adalah seruan untuk bertindak secara bersama dan berterusan dalam mencapai misi kita untuk menjadikan integriti sebagai budaya di Malaysia,” katanya.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi IIM Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas