Berita

HKL ambil tindakan serius isu pengurusan tempoh temu janji

- Diterbit 19 Januari 2024 11:35 AM MYT

HOSPITAL Kuala Lumpur (HKL) memandang dan mengambil tindakan serius isu-isu yang melibatkan pengurusan tempoh temu janji yang lama.

Pengarah HKL, Datin Paduka Dr. Rohana Johan berkata setiap pesakit yang dirujuk ke mana-mana klinik pakar akan disaring bagi menentukan kesesuaian tempoh temu janji untuk diberi kepada pesakit.

“Adalah menjadi hasrat pihak HKL untuk memberikan perkhidmatan rawatan yang terbaik kepada setiap pelanggan HKL,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial X, berhubung dengan ketidakpuasan hati pengadu mengenai tarikh temu janji rawatan rakan beliau di Klinik Pakar Psikiatri dan Rawatan Mental, HKL, adalah terlalu lama sehingga enam bulan.

Menurut Dr. Rohana, hasil siasatan mendapati pengadu telah hadir bersama pesakit ke HKL bagi tujuan mendapatkan tarikh temu janji di klinik tersebut setelah dirujuk pihak klinik kesihatan untuk
mendapatkan rawatan lanjut.

“Susulan itu pesakit telah menjalani pemeriksaan saringan dan tarikh temu janji yang diberikan adalah berdasarkan keadaan pesakit,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas