Berita

Graduan mentaliti kelas pertama, penyambung legasi pentadbiran negara

SITI (barisan kedua, tengah) bergambar bersama sebahagian pelajar selepas Program Jelajah Ikon Madani yang diadakan di UKM, Sabtu lalu.
- Diterbit 10 Jun 2023 2:00 AM MYT

PENYANYI terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza bersyukur tersenarai sebagai salah seorang tokoh dalam Program Jelajah Ikon Madani yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Sabtu lalu.

Dalam sesi town hall yang berlangsung selama dua jam tersebut, Siti menitipkan pesanan berguna kepada anak-anak muda yang bakal menerajui negara pada masa hadapan.

“Belia hari ini adalah penyambung legasi pentadbiran negara pada masa depan. Pelbagai cabaran dan dugaan bakal mereka tempuhi kerana itu perlu adanya sokongan positif daripada masyarakat sekeliling.

“Saya melihat ini adalah satu pentas untuk saya berkongsi pengalaman dan ilmu dengan mahasiswa serta mahasiswi. Ia merupakan satu suntikan semangat buat mereka untuk mengharungi kehidupan pada masa akan datang,” ujarnya.

Tambahnya, dalam apa sahaja yang ingin dilakukan pada masa hadapan, penting adanya ilmu kerana itu setiap daripada kita perlu menuntut ilmu hingga ke liang lahad.

“Dalam kehidupan pasti ada cabaran. Apatah lagi sebagai pelajar mereka belum lagi melepasi realiti kehidupan selepas tamat pengajian. Masih jauh perjalanan yang perlu dilalui. Perlu ada arah tujuan dari sekarang,” ujarnya.

Dia turut berkongsi perjalanan seninya yang dianggap begitu mencabar dan berliku sebelum berada di tahap seperti hari ini sekali gus mendidiknya menjadi lebih kental.

“Saya berkongsi pengalaman sebagai artis namun perjalanan kita sama yang mana saya juga pernah menjadi seorang pelajar dan berhadapan dengan cabaran lebih awal apabila terlibat dalam bidang seni pada usia 16 tahun.

“Di awal kemunculan dalam seni, kemenangan demi kemenangan yang dicapai juga menjadi satu ‘masalah’ buat sesetengah pihak dalam industri. Pada mulanya saya rasa lemah semangat juga, tapi saya kata pada diri saya, anggaplah ia sebagai satu cabaran yang positif. Kalau kita nak bersaing, biarlah secara sihat,” ujarnya mengakui pernah diboikot wartawan dan disindir rakan artis ketika mula-mula terlibat dalam dunia seni.

Terdahulu, town hall Madani adalah program inisiatif J-KOM, Jabatan Perdana Menteri dan Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) yang dilihat mampu mengangkat dan memperkasakan pendidikan ke suatu tahap yang lebih tinggi.

Ia berkonsepkan bual bicara yang mensasarkan pelajar baharu dan bakal graduan di Institut Pengajian Tinggi. Program ini merupakan perkongsian ilmu oleh tokoh-tokoh yang berjaya dalam pelbagai bidang seterusnya melahirkan graduan yang mempunyai mentaliti kelas pertama.

Selain Siti, tokoh lain yang turut terlibat ialah Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul.

Dalam program tersebut, lebih 4,000 mahasiswa yang layak telah menerima bantuan awal pendidikanseperti wang tunai, cermin mata, komputer riba dan beg keperluan asas. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas