Berita

Bulatan Merdeka bakal berwajah baharu bertemakan maritim, landskap lebih kemas

BULATAN Merdeka sedang dalam penambahbaikan.
- Diterbit 10 Jun 2023 1:00 AM MYT

REKA bentuk Bulatan Merdeka bakal berwajah baharu dengan menerapkan elemen laut bersesuaian dengan identiti Labuan sebagai sebuah bandar maritim.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (PL), Rithuan Mohd Ismail berkata reka bentuk baharu tersebut melambangkan kedudukan Labuan yang dikelilingi lautan berserta gugusan pulau.

“Projek tersebut menampilkan unsur abstrak batu karang sebagai komponen utama yang mengelilingi Bulatan Merdeka dan rumpai laut tiruan bagi melengkapkan tema.

“Selain itu, air pancut di kawasan tersebut akan ditambah baik dengan struktur yang lebih menarik berserta reka bentuk kontemporari dan moden,” ujar beliau seluruh kawasan Bulatan Merdeka akan diterangi dengan cahaya lampu untuk kesan lebih meriah selain landskap yang lebih tersusun.

Mengulas lanjut berkenaan projek yang menelan belanja hampir setengah juta itu, Rithuan berkata ia merupakan salah satu usaha PL untuk memperindah Pulau Bebas Cukai berkenaan.

“Keperluan menaik taraf Bulatan Merdeka yang baharu dengan lebih menarik merupakan perkara yang dinanti-nantikan oleh penduduk Labuan setelah reka bentuk sedia ada telah berusia hampir 20 tahun.

“Dengan pembaharuan ini, ia akan menjadi salah satu mercu tanda ikonik baharu Labuan yang dibanggakan oleh penduduk di sini selain menjadi lokasi tarikan pengunjung,” kata beliau projek tersebut dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

Terdahulu, reka bentuk semula Bulatan Merdeka dilaksanakan pada tahun 1970 disusuli pada sekitar 1980-an dan kali terakhir pada 1990-an. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas