Berita

Agong, Raja Permaisuri berkenan hadiri Istiadat Mengarak Panji-Panji

AGONG berkenan membuat lintas hormat terhadap Perbarisan Istiadat Perbarisan Panji-Panji SPB di bawah pimpinan Leftenan Kolonel (DOM), Muhamad Nor Azizan Yahya di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya, pagi ini.
- Diterbit 10 Jun 2023 3:32 AM MYT

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Anmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan mencemar duli ke Istiadat Perbarisan Mengarak Panji-Panji SPB Yang di-Pertuan Agong sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda bertempat di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya hari ini.

Turut berangkat sama Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Sebaik saja keberangkatan tiba Seri Paduka pada jam 8.30 pagi, nyanyian lagu Negaraku dialunkan, selain 21 das Tembakan Meriam Kehormat disempurnakan oleh Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) yang diketuai Leftenan Kolonel Mohammad Asri Che Wil.

Istiadat berkenaan turut diserikan dengan penglibatan lima buah pesawat ATM iaitu tiga buah Helikopter EC725AP, sebuah Agusta 109 dan sebuah Superlynx yang membuat formasi terbang lintas hormat dengan membawa Bendera Jalur Gemilang, Bendera ATM, Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Keseluruhan perbarisan istiadat yang penuh gilang gemilang pada pagi ini diiringi oleh gabungan pancaragam ATM di bawah kepimpinan Leftenan Kolonel (DOM), Muhamad Nor Azizan Yahaya.

Sempena istiadat ini sebanyak lima Panji-Panji SPB Yang di-Pertuan Agong diarak oleh kontinjen-kontinjen dari tiga perkhidmatan ATM iaitu TDM melibatkan Panji-Panji Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Rejimen Renjer Diraja (RRD) dan Kor Armor Diraja (KAD) di samping Panji-Panji TLDM dan TUDM.

Turut hadir dalam Istiadat ini adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan isteri, Datin Sri Ruziah Mohd Tahir dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan serta isteri Datin Seri Utama Raja Salbiah Tengku Nujumuddin.

Istiadat berkenaan diadakan tiga kali dalam tempoh lima tahun pemerintahan bagi setiap Raja Melayu yang dilantik sebagai Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong iaitu bagi tahun pertama, tahun ketiga dan tahun terakhir pemerintahan. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas