Berita

Ahmad Zahid arah penubuhan jawatankuasa pantau pelaksanaan 62 Program KKDW

KREDIT foto: KKDW.
- Diterbit 8 Februari 2024 11:15 AM MYT

TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengarahkan beberapa jawatankuasa ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan kesemua 62 program yang telah dibentuk bagi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata penubuhan jawatankuasa tersebut bukan sahaja dapat memacu kepada tercapainya matlamat dan objektif program, malah ia akan dapat memastikan penganjurannya dilaksanakan dengan penuh etika, beramanah dan bertanggungjawab.

Berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KKDW Bulan Februari di sini hari ini, beliau berkata 62 program tersebut dibentuk ketika Program Pemukiman KKDW baru-baru ini yang melibatkan percambahan buah fikiran daripada kalangan pegawai kanan kementerian dan ahli akademik.

“KKDW perlu lebih memandang keterhadapan dalam merancang pembangunan kementerian ini secara jangka masa panjang.

“Saya mahu bulan Julai nanti kita adakan semula pelaksanaan 62 program yang dicadangkan ini dan kena memastikan proses pelaksanaan itu dibuat sebaiknya agar dapat menyusun semula keutamaan program untuk ia lebih memberi impak kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata KKDW juga terlibat secara langsung dalam pelaksanaan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) peringkat nasional yang akan berlangsung dari 29 Feb hingga 2 Mac depan di  Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Ahmad Zahid berkata selaras dengan matlamat KEB yang ingin memperkasakan pembangunan bumiputera untuk jangka masa panjang, terdapat 10 kluster yang memfokuskan peranan masing-masing sedang giat melaksanakan sesi libat urus untuk mendapatkan input berkaitan, seterusnya dibentangkan untuk dijadikan sebagai dasar KEB kali ini.

Ditemui pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan itu, Ahmad Zahid berkata setakat 2 Feb, hanya 33.4 peratus atau 8,173 profil warga KKDW berdaftar dengan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) daripada keseluruhan 24,471 jumlah perjawatan sedia ada di bawah kementerian itu.

Ditanya mengenai punca peratusan pendaftaran yang rendah, beliau berkata kemungkinan wujud keraguan dalam kalangan kakitangan mengenai butiran peribadi masing-masing.

“Kami telah mengusahakan beberapa langkah dan kami akan pastikan mencapai angka 100 peratus pendaftaran pada pertengahan bulan ini,” katanya.

Kerajaan pada 2 Jan lepas, melancarkan PADU iaitu pangkalan data utama negara yang selamat dan komprehensif ke arah digitalisasi dan penghasilan analitik yang tepat.

Semua rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas digalakkan mendaftar dan mengemas kini maklumat ke dalam sistem tersebut, bagi memastikan rakyat yang layak mendapat manfaat tidak tercicir daripada menerima subsidi bersasar, bantuan dan perlindungan sosial melalui sistem PADU. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas