Berita

Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam dijenamakan semula sebagai PETRA

- Diterbit 8 Februari 2024 11:56 AM MYT

MESYUARAT Kabinet telah meluluskan cadangan menamakan semula Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam (KPTDGA) kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) atau dalam Bahasa Inggeris, Ministry of Energy Transition and Water Transformation (PETRA).

Dalam kenyataannya, PETRA memaklumkan cadangan menamakan semula kementerian ini telah dibawa oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri PETRA, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam mesyuarat jemaah menteri semalam.

“Perubahan ini bagi menggambarkan peranan sebenar dan tanggungjawab kementerian berkaitan dengan usaha transformasi dalam bidang tenaga dan air negara.

“Tujuannya adalah untuk memastikan bahawa aspirasi kerajaan melalui fungsi dan tugas kementerian ini dapat difahami dengan lebih jelas oleh masyarakat umum melalui nama baharu tersebut,” tulis kenyataan itu hari ini.

Menerusi kenyataan itu, PETRA memaklumkan pemilihan akronim kementerian pula telah ditentukan melalui pertandingan secara terbuka kepada warga kementerian dan jabatan serta agensi dibawahnya.

“Sejumlah 105 cadangan akronim telah di terima dan PETRA telah terpilih sebagai akronim Kementerian baharu ini.

“Akronim tersebut merujuk kepada pemilihan huruf-huruf terpilih yang dikaitkan dengan nama Kementerian. Peralihan Tenaga dizahirkan secara simbolik pada tiga huruf pertama (PET), manakala Transformasi Air juga dizahirkan secara simbolik melalui tiga huruf terakhir akronim berkenaan (TRA),” katanya.

Jelas kenyataan itu, sektor Tenaga dan Air merupakan komponen terpenting dalam kehidupan kita dan kesejahteraan rakyat akan digalas oleh kementerian ini.

“Sehubungan itu, nama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), akan digunakan secara rasmi ke atas segala urusan berkaitan dengan Kementerian,” tukis kenyataan itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas