Berita

Tol percuma sempena Tahun Baharu Cina pastikan rakyat rancang perjalanan sebaiknya – Anthony Loke

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 8 Februari 2024 12:30 AM MYT

MENTERI Pengangkutan Anthony Loke berkata pengecualian bayaran tol selama dua hari bermula esok dan Jumaat, 9 Februari sempena sambutan Tahun Baharu Cina adalah untuk  memastikan rakyat merancang perjalanan balik ke kampung halaman masing-masing dengan sebaiknya.

Beliau berkata cadangan asal adalah pada 9 Februari dan 10 Februari namun diawalkan memandangkan tidak ramai yang balik pada malam Tahun Baharu Cina.

“Tol percuma itu melalui Jemaah Menteri memang dibincang dan Kementerian Pengangkutan mencadangkan kepada Kementerian Kerja Raya supaya mengadakan inisiatif tol percuma dua hari sebelum hari perayaan.

Cadangan asal ialah 9 Feb dan 10 Feb tetapi kita tahu hari pertama Tahun Baharu Cina tidak ramai yang balik kerana kebanyakan balik sebelum itu,” katanya kepada media selepas pelepasan penumpang AirAsia bagi penerbangan lewat malam istimewa dengan tambang tetap berpatutan sempena musim perayaan dari Kuala Lumpur ke Sibu, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, malam ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Operasi Penerbangan) AirAsia Aviation Group, Datuk Kapten Chester Voo.

Loke berkata keadaan lalu lintas dijangka sesak bermula esok dan meminta orang ramai supaya merancang perjalanan agar dapat mengelakkan kesesakan lalu lintas serta pengguna jalan raya dinasihati berhati-hati dan berehat di tempat yang selamat jika penat.

Mengenai penerbangan lewat malam AirAsia dengan tambang tetap, beliau berkata kerajaan menghargai komitmen AirAsia kerana sentiasa menawarkan tambang lebih nilai kepada para pelanggan mereka dengan tambang tetap berpatutan sempena musim perayaan termasuk penerbangan lewat malam ke Sabah dan Sarawak.

Loke berkata inisiatif itu memberi manfaat kepada 22,000 penumpang dan memberi ruang kepada anak Sabah dan Sarawak kembali ke kampung halaman untuk sambutan Tahun Baharu Cina.

Selain itu, beliau berkata kerajaan juga menghargai sumbangan dan pengorbanan pekerja sektor penerbangan termasuk operator lapangan terbang, pegawai kawalan trafik udara dan pengendalian darat yang memainkan peranan penting memastikan inisiatif penerbangan lewat malam berjalan dengan lancar. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas