Berita

Delegasi Parlimen Malaysia lawat UK, Ireland untuk pertingkat kepakaran

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 23 April 2024 9:05 PM MYT

YANG Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengetuai delegasi Parlimen Malaysia dalam lawatan rasmi ke United Kingdom (UK) dan Ireland yang bermula hari ini hingga 2 Mei.

Parlimen Malaysia dalam kenyataan memaklumkan lawatan itu bertujuan memperdalam pemahaman tentang tadbir urus parlimen, memupuk kerjasama serta mengukuhkan hubungan antara Parlimen UK, Ireland dan Malaysia.

Antara Ahli Parlimen yang terlibat ialah Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi William Leong Jee Keen (PH-Selayang), Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Alam Sekitar, Sains dan Perladangan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) dan Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut).

Kenyataan itu menyebut sepanjang program tersebut, delegasi akan terlibat dalam beberapa siri perbincangan, bengkel dan mesyuarat yang dirangka untuk meningkatkan pengetahuan serta kemahiran dalam hal ehwal Parlimen.

“Ini selaras dengan objektif lawatan rasmi yang bertujuan memperkasakan delegasi Parlimen Malaysia agar dapat menyumbang kepakaran secara berkesan kepada fungsi Parlimen masing-masing,” menurut kenyataan itu.

Menurut Parlimen Malaysia, antara sasaran utama lawatan ialah mempertingkat kefahaman mengenai tadbir urus Parlimen dan struktur serta proses Jawatankuasa Pilihan Khas, perkongsian amalan terbaik untuk perjalanan Dewan Rakyat dan mengukuhkan hubungan antara Parlimen.

Di UK, Speaker Dewan Rakyat akan terlibat dalam mesyuarat dan libat urus penting termasuk dengan rakan sejawat dari UK Speaker House of Commons Sir Lindsay Hoyle dan Ketua Eksekutif Persatuan Parlimen Komanwel (CPA) Stephen Twigg.

Di Ireland, Johari akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Michael D. Higgins dan bertemu dengan Speaker Dail Eireann (Dewan Rakyat) Sean O Fearghail serta Speaker Seanad Éireann (Dewan Negara) Senator Jerry Buttimer.

Selain itu, Johari dijadual menyampaikan syarahan umum bertajuk ASEAN-UK in the Asian Century’’ kepada pelajar di Universiti Lancaster selain memperkukuh hubungan dialog dua hala dan pertukaran kepakaran antara ahli akademik serta wakil Parlimen.

“Lawatan ini merupakan antara usaha berterusan Parlimen Malaysia dalam mempertingkat kepakaran, kerjasama antarabangsa dan pemupukan nilai demokrasi,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas