Berita

Tabung Haji kekalkan giliran haji pencarum keluar KWSP

|
- Diterbit 3 Disember 2020 8:12 AM MYT

TABUNG Haji (TH) tidak berhasrat membatalkan giliran haji pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mengeluarkan simpanan mereka.

Menurut jurucakap TH, sebaliknya TH menasihati semua rakyat Malaysia yang layak membuat pengeluaran dan mendaftar dengan TH untuk menggunakan simpanan mereka itu dengan berhemah.

“Benar, TH pernah membenarkan mereka mendaftar haji dan mendapat giliran haji menggunakan jumlah wang di dalam KWSP, namun wang itu kekal di sana dan tidak pernah dipindahkan ke TH,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Apabila ditanya sama ada mereka yang mendaftar menggunakan simpanan KWSP akan hilang kelayakan akibat baki simpanan kurang daripada RM1,300, jurucakap TH berkata mereka tidak akan hilang giliran haji yang telah diberikan.

Sebelum ini, TH membenarkan pencarum KWSP yang memiliki simpanan KWSP melebihi RM1,300 untuk mendaftar haji. Selain itu, pencarum yang telah mendapat giliran haji dan tidak mencukupi wang boleh membuat pengeluaran KWSP untuk menampung kos haji.

Semalam, KWSP mengeluarkan syarat kelayakan pengeluaran simpanan tabung dana itu dengan meletakkan dua kategori utama iaitu mereka yang hilang pekerjaan dan mereka yang terjejas pendapatan.

Had pengeluaran pula ditetapkan pada kadar maksimum RM10,000 bagi ahli yang memiliki simpanan lebih RM10,000 atau 10 peratus dari jumlah simpanan di akaun 1 KWSP.

Difahamkan pencarum harus mengekalkan baki minima RM100 di dalam akaun KWSP masing-masing. – OLEH SURAYA ALI – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas