Berita

Keputusan rayuan Siti Bainun ditangguh ke 2 Mei ini

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 24 April 2024 3:00 PM MYT

KEPUTUSAN rayuan pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali yang didapati bersalah atas kesalahan mengabai serta menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella, yang dijadual hari ini ditangguhkan ke 2 Mei oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Peguam Haijan Omar yang mewakili Siti Bainun selaku perayu berkata tarikh baharu itu dimaklumkan oleh mahkamah menerusi e-mel pada 22 April lepas.

“Keputusan rayuan pada hari ini (24 April) ditangguhkan ke 2 Mei pada 9.30 pagi,” kata Haijan ketika dihubungi pemberita hari ini.

Pada 7 Mac lepas, Hakim Datuk Noorin Badaruddin menetapkan 24 April untuk keputusan rayuan Siti Bainun selepas mendengar hujahan pihak peguam dan pendakwaan.

Pada 3 Mei 2023, Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi memerintahkan Siti Bainun menjalani hukuman penjara 12 tahun serta-merta dan dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman itu selepas menolak permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.

Siti Bainun, yang didapati bersalah melakukan perbuatan itu terhadap Bella, yang ketika itu berusia 13 tahun di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021, turut diperintah menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000.

Wanita itu juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Mahkamah Tinggi pada 23 Mei 2023 menolak permohonan Siti Bainun agar pelaksanaan hukuman penjara terhadapnya ditangguhkan selepas mendapati tiada keadaan khas atau luar biasa untuk berbuat demikian. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas