Berita

ZEHRA ZAMBRI Tolak Godaan Suami Orang, Elak Bermadu

- Diterbit 3 Disember 2020 1:23 AM MYT

PENYANYI lagu Semalakama, Zehra Zambri,34, mengaku sering digoda suami orang semenjak statusnya kembali solo sejak dua tahun lalu.

Menurut Zehra, dia sendiri berasa pelik serta tertanya-tanya kenapa lebih ramai suami orang yang mendekatinya dan bukannya lelaki bujang atau duda.

“Tidak dinafikan, ketika awal-awal berpisah dengan bekas suami dulu, hati saya agak sedih dan tertutup untuk menerima cinta mana-mana lelaki.

“Kini hati saya sudah terbuka untuk berkahwin lagi. Iyalah.. umur saya bukannya muda lagi. 

“Namun, saya pun pelik apabila sering didekati ramai suami orang. Mungkin kerana wajah saya yang agak matang menyebabkan lebih ramai golongan itu mahu mendekati saya.

“Saya tiada masalah untuk berkawan dengan mereka, cuma kalau nak lebih daripada itu saya cuba elakkan,” katanya kepada Wilayahku.

Bagi Zehra yang kini berkhidmat separuh masa sebagai wartawan di RTM, dia selagi boleh tidak mahu rapat dengan mana-mana suami orang kerana tidak mahu menyakiti hati wanita lain.

“Bukan apa, kalau boleh saya memang cuba elak jatuh cinta pada suami orang. Saya tak mahu bermadu. 

“Bukanlah nak cakap sombong kerana kita tidak tahu apa akan berlaku pada masa akan datang. Namun saya sudah berusaha untuk mengelaknya,” ujarnya lagi yang mahu mengenali lebih dekat keluarga bakal suami apabila tiba waktunya nanti.

Sebelum ini Zehra pernah berkahwin dengan Wan Muhammad Nurhariz Hariri Wan Mohd Effendi, 32, pada Oktober 2017 namun rumah tangga mereka hanya bertahan selama enam bulan.  -WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas