Selebriti

Syafiq Farhain terbuka soal kahwin

SYAFIQ ketika meraih trofi Anugerah Instafamous Paling Fit anjuran hurr.tv baru-baru ini
SYAFIQ ketika meraih trofi Anugerah Instafamous Paling Fit anjuran hurr.tv baru-baru ini
- Diterbit 23 Ogos 2019 5:08 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]

MENGINJAK ke usia 25 tahun, penyanyi Syafiq
Farhain mula diaju dengan pertanyaan tentang perkahwinan.

Terbuka tentang hal tersebut, dia mengakui masih belum sampai ke tahap tertekan dengan soalan cepu emas seperti itu.

Pun begitu dia tidak menolak bahawa dirinya turut mempunyai keinginan untuk mendirikan rumah tangga. Malah penyanyi lagu Sayang Maafkan Aku ini sudah pun memikirkan perkara tersebut dengan lebih mendalam.

“Saya tidak pernah meletakkan sebarang had umur untuk berkahwin tetapi jika boleh tidak mahu terlalu lewat. Bukan apa jika kahwin awal, lebih mudah untuk merancang keluarga pada usia yang masih muda.

“Sudah tentu saya juga mempunyai perancangan ke arah itu dan terbuka untuk mengenali wanita. Namun hingga saat ini, saya masih lagi belum menemui seseorang yang sesuai untuk dijadikan teman,” ujarnya.

Memandangkan dia sering bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat, kebiasaannya soalan tersebut merupakan soalan popular yang sering diajukan kepadanya.

Namun dia berusaha untuk menjawab dengan cara yang baik.

“Kalau nak tunggu jodoh tanpa sebarang usaha pun tidak boleh juga, doa diiringi dengan usaha itu yang terbaik. Dalam masa yang sama, saya kini sedang merancang untuk membeli rumah dan menstabilkan ekonomi terlebih dahulu.

“Selagi belum sampai masanya untuk mendirikan rumah tangga, saya akan menggunakan kesempatan yang ada untuk memberi keselesaan kepada keluarga terlebih dahulu terutamanya ibu,” ujarnya.

Ditanya ciri-ciri wanita idamannya, Syafiq yang juga merupakan seorang anggota bomba mendambakan seseorang yang sanggup bersusah payah bersama dirinya dan yang paling penting tidak cemburu buta.

“Kalau boleh dia menerima diri saya apa adanya kerana andai dilanda masalah pada masa akan datang, dia tidak cepat melatah dan cuba untuk mempertahankan selagi termampu,” ujar penyanyi kelahiran Setiu, Terengganu ini.

Turut menjadikan pengalaman cinta lalu sebagai panduan untuk membina hubungan yang baru, menurut anak kepada penyanyi popular Alllahyarham Saleem ini berkata, perasaan ego perlu dijauhi untuk memastikan hubungan cinta bertahan.

Program travelog

Bercerita tentang perkembangan terbarunya, dia teruja apabila diberi peluang menjadi pengacara program travelog berjudul Pakat Maghi Terengganu yang disiarkan di saluran TV Okey pada setiap Rabu.

Program 13 episod tersebut merupakan batu loncatan untuknya mencuba sesuatu yang baharu dalam bidang seni. Menyifatkan pengacaraan sebagai sesuatu yang menarik, pada mulanya, dia turut berhadapan dengan perasaan malu untuk mencuba.

“Sudah tentu ada perasaan malu untuk melakukan perkara yang tidak pernah kita buat terutamanya berada di hadapan kamera. Mujurlah lama kelamaan saya dapat mengatasi masalah tersebut dan tidak lagi berasa kekok,” ujarnya.

Bakal muncul dalam filem aksi komedi berjudul Jangan Bikin Panas pada Oktober ini, disamping pelakon popular Hisyam Hamid, Syafiq turut menyimpan impian untuk bergelar selebriti serba boleh suatu hari nanti.

Beralih kepada bidang nyayian pula, dia kini sibuk mempromosikan single kelima, Demi Setia selain bakal beraksi dalam konsert GempakZilla yang akan diadakan di Stadium Tertutup Sukpa di Kuantan pada 28 September ini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas