WK2

Keindahan terumbu karang di Pulau Layang-Layang

BENIH terumbu karang akan diletakkan pada tukun tiruan supaya terumbu dapat membesar dengan elok.
BENIH terumbu karang akan diletakkan pada tukun tiruan supaya terumbu dapat membesar dengan elok.
- Diterbit 23 Ogos 2019 4:28 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]
Foto ARKIB LEGES DIVERS

USAHA untuk menjaga khazanah alam sekitar dan melestarikannya tidak pernah berakhir.

Malah masa kini pelbagai pihak sama ada kerajaan mahupun swasta dan pertubuhan bukan kerajaan mengambil inisiatif untuk melestarikan alam sekitar demi kepentingan bersama.

Projek pemeliharaan serta pemuliharaan terumbu karang di Terumbu Layang-Layang, Malaysia dirancang
untuk memulihara ekosistem dan khazanah laut yang sangat berharga untuk tatapan generasi akan datang.
Menurut Pengarah Program Kelab Legasi Selam Skuba Malaysia (Leges Divers), Wan Raysha Noraz Mustaffa
Khalid, program yang dijalankan secara tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini diadakan adalah bagi
meningkatkan tahap kesedaran rakyat Malaysia dalam pemuliharaan pulau-pulau di Malaysia.

“Dengan mengadakan aktiviti seperti ini kami berharap ia dapat mewujudkan Pusat Pemuliharaan
(Conservation Center) dengan penggunaan teknologi hijau dalam usaha membendung masalah pelupusan
sampah serta rawatan air di pulau-pulau memandangkan peratusan ‘coral bleaching’ di perairan kita semakin meningkat dengan drastik.

“Ia juga diharap meningkatkan tahap kesedaran sivik masyarakat mengenai biodiversiti dalam menjaga kebersihan pantai dan dasar laut untuk mencegah malapetaka pemanasan global,” katanya kepada WK2.

Menurut Wan Raysha Noraz, projek tersebut juga bertujuan melaksanakan projek restorasi atau rehabilitasi terumbu karang.

“Kami menggunakan kaedah tukun kerangka atau disebut ‘coral frame’ di perairan Malaysia bagi menjaga ekosistem dan seterusnya meningkatkan ekonomi masyarakat setempat.

“Malah projek tersebut merupakan percubaan untuk memecah dan mencipta rekod dunia dalam The Guinness World Records Attempting For The Placement of Largest Artificial Reef.

Kata Wan Raysha Noraz lagi, projek yang dijalankan pada Jun lalu mendapat kerjasama banyak pihak terutama daripada lapan agensi kerajaan Persekutuan.

“Pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Perbadanan Labuan, Jabatan Penerangan Malaysia, Jabatan Perikanan Malaysia dan Pusat Penyelidikan Ekosistem Marin Universiti Kebangsaan Malaysia (EKOMAR-UKM).

“Labuan Point Hotel turut memberikan kerjasama kepada pasukan penyelam dalam projek ini,” katanya.

Pecah rekod dunia

Menurut Wan Raysha Noraz, idea asal untuk melaksanakan projek pemuliharaan karang laut itu timbul apabila Leges Divers telah berjaya memecahkan rekod dalam The Malaysia Books Of Records For The Largest Coral Planting Event.

“Rentetan dari program itu, maka tercetusnya idea untuk meneruskan aktiviti kemasyarakatan membabitkan pemuliharaan pulau-pulau pada tahun ini.

“Berdasarkan pengalaman yang ada, selaku Pengurus Projek Leges Divers, saya telah membuat permohonan masuk percubaan memecahkan rekod dunia dalam The Guinness World Records Attempting The Placement of Largest Artificial Reef telah diterima pada 7 Mac lalu,” katanya.

Jelasnya lagi, perkara ini mendapat sokongan baik daripada pihak Kerajaan Malaysia yang telah menggerakkan agensi berkaitan untuk terlibat sama
dalam menjayakan projek ini.

Cabaran utama

Menurut Wan Raysha Noraz, projek berkenaan melibatkan seramai 90 penyelam yang berpengalaman.

“Kami berhadapan dengan masalah kekurangan dana, cuaca yang buruk dan kerosakan bot semasa projek dilangsungkan.

“Ini menyebabkan kerja-kerja penurunan tukun kerangka dan penanaman karang laut tergendala
dan tidak mengikut jadual yang telah ditetapkan namun program ini tetap diteruskan,” katanya.

Menurut Wan Raysha Noraz lagi, terdapat dua medium pengangkutan dari Labuan ke Pulau Layang-Layang
dengan penyelam dibahagi kepada dua kumpulan.

“Seramai 15 orang peserta telah belayar menggunakan Kapal MV Polaris milik Jabatan Laut Malaysia dari Labuan ke Pulau Layang-Layang pada 13 Jun lalu dengan perjalanan memakan masa hampir 18 jam.

“Baki peserta seramai 75 orang pula menaiki penerbangan C130 milik TUDM pada 16 Jun lalu dari Labuan ke Pulau Layang-Layang,” katanya.

Cerita beliau, misi tersebut menghadapi cabaran apabila penerbangan C130 terpaksa ditunda keesokan
harinya apabila sebanyak dua kali percubaan untuk mendarat di Pulau Layang-Layang gagal.

“Masalah yang dihadapi adalah disebabkan hujan lebat dan angin yang bertiup kencang dengan kelajuan 40
knot ketika itu hingga membuatkan pesawat terpaksa berpatah balik ke Labuan demi menjaga keselamatan para peserta kami,” katanya.

Kata Wan Raysha Noraz lagi, program tanggungjawab sosial tersebut melibatkan sebanyak 1,007 tukun
kerangka yang diperbuat daripada batang keluli yang dikimpal bagi membentuk sebuah platform heksagon
diturunkan di perairan Pulau LayangLayang, Malaysia.

“Tukun kerangka seberat tiga tan metrik setiap satu dengan saiz 1.3 meter (panjang) dan 0.6 meter (tinggi)
disusun membentuk U-shape yang disambungkan di dalam kawasan seluas 19,166 meter persegi.

“Luas kawasan pula lebih kurang 4.736 ekar iaitu sebanyak 52.8 meter (m) (lebar) dan 363m (panjang)
manakala panjang keseluruhan pola U-Shape yang dibentuk ialah 3,319.8m (3.3km).

“Aktiviti penanaman 2,400 karang yang melibatkan 20 penyelam terpaksa ditangguhkan pada tahun hadapan,” katanya.

Jelas Wan Raysha Noraz, program kali ini hanya berjaya menurunkan sebanyak 380 coral frames manakala baki sejumlah 644 lagi mengikuti Kapal MV Polaris belayar pulang ke Labuan bagi menjalani proses recoating.

Sementara itu, Pulau Layang-Layang juga ditutup mulai 1 Julai hingga 31 Disember setiap tahun disebabkan musim tengkujuh dan hujan lebat.

“Oleh itu penyambungan kerja-kerja penurunan baki kerangka dan penanaman coral akan diadakan pada
Februari tahun depan,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas