Artikel

Hidangan Nasi Lemak McD

MELATI (dua dari kiri) bersama Eugene Lee (dua dari kanan) menunjukkan hidangan Nasi Lemak McD selepas melancarkan signage Mekdi di McDonald’s Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini.
MELATI (dua dari kiri) bersama Eugene Lee (dua dari kanan) menunjukkan hidangan Nasi Lemak McD selepas melancarkan signage Mekdi di McDonald’s Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini.
- Diterbit 23 Ogos 2019 6:15 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

KUALA LUMPUR – Sempena sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia, McDonalds’s Malaysia memperkenalkan hidangan baharu iaitu Nasi Lemak McD.

Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pemasaran McDo­nald’s Malaysia, Melati Abdul Hai berkata, hidangan tersebut dilancarkan selepas pihaknya mendapat maklum balas positif daripada semua pihak khususnya rakyat Malaysia.

“Hidangan kegemaran ramai rakyat Malaysia ini dibuat dalam versinya tersendiri. Lengkap dengan nasi bersantan yang wangi, ikan bilis rangup, timun segar dan telur goreng berserta sambal pedas.

“Pelanggan boleh merangsang selera makan dengan menambah ayam goreng McD dan secawan teh ais limau yang boleh dibeli secara set kombo,” katanya dalam sidang akhbar pelancaran menu baharu itu baru-baru ini.

Hadir sama Pengarah Pemasaran McDonalds’s Malaysia, Eugene Lee.

Menurut Melati, pihaknya juga memulakan petisyen di seluruh negara menerusi laman web Change.org supaya nasi lemak diiktiraf secara rasmi sebagai hidangan kebangsaan Malaysia dengan sasaran mengumpul 1 juta tandatangan menjelang Hari Malaysia, 16 September nanti.

Dalam pada itu, McDonald’s Malaysia juga menerima pakai nama panggilan ‘Mekdi’ sejajar dengan sambutan bersejarah negara.

“Sempena sambutan itu juga, kita akan meraikan 37 tahun pembukaan restoran McDonald’s di negara ini yang mula dibuka pada 1982. Lokasi pertamanya adalah Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

“Sebagai tanda penghargaan atas sokongan berterusan, kami telah memutuskan untuk menerima pakai nama panggilan mesra Mekdi yang diberikan. Ia sinonim dengan jenama kami,” ujarnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas