Berita

Syabas ‘The Pocket Rocketman’- Muhyiddin

|
- Diterbit 8 Ogos 2021 6:31 AM MYT

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah buat jaguh basikal negara, Datuk Azizulhasni Awang yang meraih pingat perak di Sukan Olimpik Tokyo, hari Ini.

Menerusi instagramnya, Muhyiddin juga menyatakan rasa kagumnya terhadap Azizulhasni yang sentiasa tidak patah semangat.

“Tahniah buat jaguh trek berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang kerana menghadiahkan pingat perak buat Malaysia menerusi acara Keirin basikal trek, Sukan Olimpik Tokyo, sebentar tadi.

“Kejayaan ini tentunya menambahkan keceriaan buat kontinjen negara sebelum temasya sukan tersohor ini melabuhkan tirainya.

“Biar apa pun warnanya, kilauan pingat yang dikutip di pentas sukan terbesar ini tentunya memberi makna cukup signifikan buat anda dan juga negara apabila melihat Jalur Gemilang dinaikkan.

“Seluruh rakyat Malaysia pastinya amat berbangga dengan aksi dan semangat tidak mudah mengalah yang anda tunjukkan. Saya turut merasa sayu melihat tangisan kemenangan sebentar tadi.

“Kami di Malaysia amat memahami perasaan serta kesukaran yang anda lalui sepanjang temasya ini. Terima kasih saya ucapkan atas segala pengorbanan anda demi negara,” tulisnya.

Muhyiddin juga turut menzahirkan ucapan tahniah buat Menteri Belia Sukan dan Negara, Datuk Seri Reezal Merican.

“Syabas juga kepada Menteri Belia dan Sukan, YB Datuk Seri Reezal Merican, barisan kejurulatihan dan seluruh kontinjen Malaysia atas kejayaan ini.

“Kepada Muhammad Shah Firdaus Sahrom pula, saya ingin katakan yang kegagalan mengiringi Azizulhasni ke peringkat akhir tidak seharusnya mematahkan semangat anda.

“Iltizam dan semangat ‘Demi Malaysia’ yang dipamerkan apabila sanggup mengetepikan kesakitan yang dialami semasa di peringkat saringan dan suku akhir dengan sendirinya membuktikan anda adalah wira yang perlu disanjungi. Terima kasih Shah Firdaus.

“Tahniah Azizulhasni! Syabas Shah Firdaus!,” ujarnya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas