Berita

Sultan Selangor perkenan kaedah akad nikah guna sidang video

PASANGAN pengantin yang dinikahkan melalui sidang video kelmarin.
- Diterbit 20 April 2020 11:35 AM MYT

SHAH ALAM – Selepas Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) merintis pendekatan baharu menjalankan upacara akad nikah secara online atau sidang video, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) turut membenarkan kaedah itu bermula hari ini.

Pengarah JAIS, Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, proses kebenaran khas akad nikah itu dijalankan dalam tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah berkenan memberikan kelulusan kepada JAIS dalam melaksanakannya pada 13 April lalu.

“Keputusan yang dilakukan oleh Sultan Sharafuddin adalah bertepatan apabila 5 orang Penolong Pendaftar Perkahwinan (Jurunikah) di Selangor telah dikuarantin setelah mempunyai kontak dengan individu positif Covid-19 sewaktu bertugas di majlis akad nikah.

“JAIS telah menyediakan suatu tatacara yang terperinci dan membuat beberapa ketetapan baharu yang strategik bagi memastikan perlaksanaan akad nikah ini adalah menepati hukum, mempunyai standard pelaksanaan yang wajar, mudah difahami dan diikuti oleh pasangan kerana kaedah ini merupakan lain daripada kebiasaan “the new normal”,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Berdasarkan tatacara itu, terdapat lima perkara yang telah ditetapkan JAIS bagi pelaksanaan akad nikah secara sidang video yang perlu diikuti oleh pasangan yang ingin bernikah.

Ini bermula dengan pemohon menghubungi pegawai JAIS bagi mendapatkan kebenaran proses yang ingin dilaksanakan sebelum Pengarah JAIS memberikan kebenaran untuk berkahwin jika dokumen lengkap.

Seterusnya, pemohon yang mendapat kebenaran khas itu akan dimaklumkan mengenai tarikh pernikahan dan mereka akan dinikahkan melalui sidang video.

Langkah terakhir adalah pemohon kemudiannya perlu hadir ke pejabat agama Islam daerah selepas PKP ditamatkan untuk mengemukakan slip perakuan nikah sementara bagi mendapatkan Surat Perakuan Nikah Negeri Selangor mengikut Seksyen 26 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Shahzihan menegaskan JAIS kesal dengan laporan sebuah syarikat televisyen semalam berhubung penikahan semasa PKP yang disifatkan berat sebelah.

“Pihak tersebut tidak merujuk dengan JAIS bagi mendapatkan fakta yang tepat sebelum menyiarkan perkara ini kepada umum.

“Laporan itu juga mempersoal dan mempertikai perintah atau titah Sultan Sharafuddin dalam masa yang sama, bersikap tidak adil kepada JAIS,” tegasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas