Berita

Cabaran frontliners: Urus, pantau 15,000 penduduk di satu kawasan

PASAR Borong Kuala Lumpur di Selayang turut dilaksanakan PKPD susulan terdapat lebih 20 kes positif Covid-19.
- Diterbit 20 April 2020 12:24 PM MYT

PUTRAJAYA – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang dekat sini melibatkan kira-kira 15,000 penduduk setempat.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, jumlah penduduk setempat yang ramai itu memberi cabaran besar kepada Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan (JKKN WP) dan petugas barisan hadapan (frontliners) berikutan perlu melakukan ujian saringan Covid-19 ke atas kira-kira 1,500 hingga 2,000 orang sehari.

Ekoran itu, ujarnya, diharapkan ujian saringan dapat diselesaikan dalam tempoh satu minggu manakala dan kesemua yang berada di dalam kawasan mesti dikuarantin selama 1 hari.

“Ini satu perkara yang sangat mencabar untuk kawasan sekitar Pasar Borong Selayang, kawasan ini mempunyai jumlah penduduk yang agak tinggi, dijangkakan kira-kira 15,000 hingga 16,000 orang dan ia merupakan cabaran baru kepada JKKN WP kerana gelandangan tak sampai 1,000 orang.

“‘Lockdown’ Jalan Masjid India sekitar 5,000 orang. Kali ini kita terpaksa bekerja, menyelia dan mengendalikan PKPD yang meliputi enam blok kawasan di sekelililng pasar borong (Blok A hingga F) dan di kawasan tersebut merupakan kawasan yang agak luas,” katanya dalam sidang LIV Facebook sebentar tadi sambil menyifatkan pasar borong sebagai nadi kehidupan masyarakat setempat yang mendapat pengecualian kerana antara keperluan utama.

Mengulas lanjut berkenaan pelaksanaan PKPD, Annuar yang juga Pengerusi JKKN WP berkata, langkah tersebut dikenakan berikutan Pasar Borong Kuala Lumpur mempunyai lebih 20 kes positif Covid-19 semasa saringan dilakukan selain terdapat satu kematian.

Jelas beliau, pihaknya difahamkan terdapat lebih 90 peratus penduduk setempat adalah warga asing khususnya Burma, Rohingya dan pemegang kad UNHCR (Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian).

Dalam pada itu, ujar beliau, sub CMC (Puast Pengurusan Krisis) akan diwujudkan di setiap blok terlibat bagi membolehkan ujian saringan dilakukan dengan lebih tersusun.

“Saya mengambil keputusan untuk melantik tiga orang bagi mwakili polis, tentera dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menjadi penyelian di kawasan berkenaan yang bertanggungjawab memantau khususnya pengurusan makanan, memungah atau membawa 2,000 orang untuk jalani saringan setiap hari.

“Selain itu, dua bilik mandi dan dua tandas bergerak turut disediakan untuk petugas barisan hadapan yang perlu membersihkan diri selepas bertugas di samping sebuah khemas untuk membuat saringan dan sebuah lagi untuk menunggu kerana perlu mematuhi penjarakan sosial.

“Pada masa sama, kita akan tentukan bekalan makanan di situ boleh mereka beli melalui satu kaedah untuk mereka memasak sendiri. Juga akan ada bantuan makanan yang kita sedang susun kaedah pengagihannya. Sebanyak 500 orang petugas lagi akan berutgas untuk mengawal kawasan di sekatan jalan raya yang kita ditetapkan,” jelasnya.

Tambah Annuar, pemandu lori yang membawa muatan seperti sayur dan buah ke pasar borong juga perlu menjalani ujian saringan Covid-19 kerana operasi di kawasan tersebut tidak dihentikan sebaliknya hanya mengawal di pintu keluar dan masuk. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas