Berita

PKPD tepat, 13,277 sampel kesan 796 positif Covid-19

TALIAN helpline disediakan untuk memudahkan penduduk di sekitar Pasar Borong KL.
- Diterbit 20 April 2020 10:51 AM MYT

PUTRAJAYA – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilakukan di beberapa kawasan sebelum ini telah merekodkan sebanyak 796 kes positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 13,277 sampel ujian pengesanan Covid-19 telah diambil hasil daripada tindakan PKPD tersebut.

“Terdapat lima kes kematian Covid-19 dari kawasan ini iaitu kes ke-1114, kes ke-2627, kes ke-1649 dan kes ke-1251 dari Bandar Baru Ibrahim Majid dan kawasan di sekitarnya, serta kes ke-1906 dari Menara Plaza City One.

“Oleh demikian, kita menasihatkan selaras dengan penurunan kes jangkitan Covid-19, masyarakat tidak mengambil mudah serta merasa selesa dengan keberkesanan pengekangan jangkitan wabak yang dicapai setakat ini.

“Perjuangan kita masih berbaki dan pastinya masih belum tamat. Kita perlu teruskan usaha membantu kerajaan dalam memastikan rantaian jangkitan dapat diputuskan,” katanya.

Untuk rekod, PKPD telah mula dilaksanakan di beberapa lokasi yang berisiko tinggi sejak 27 Mac lalu dan langkah tersebut dapat membantu Kementerian Kesihatan dalam menjalankan aktiviti pendekatan tertumpu untuk membendung penularan jangkitan Covid-19.

Antara langkah dilakukan ialah bancian penduduk, Active Case Detection (ACD) rumah ke rumah, pengambilan sampel, aktiviti disinfeksi berkaitan dan promosi kesihatan.

Enam arahan PKPD secara berperingkat melibatkan sebanyak 10 kawasan iaitu Bandar Baru Ibrahim Majid; kawasan di sekitar Bandar Baru Ibrahim Majid; Kampung Sungai Lui dan kawasan di sekitar Kampung Sungai Lui.

Kawasan lain ialah di Menara Plaza City One; Malayan Mansion; Selangor Mansion; Masjid India dan terkini di Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur serta sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas