Berita

Sultan Brunei hadir Majlis Makan Malam dihoskan oleh PM Anwar

- Diterbit 3 Ogos 2023 3:29 PM MYT

SULTAN Brunei Sultan Hassanal Bolkiah hari ini berkenan menghadiri Majlis Makan Malam yang dihoskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Menara Berkembar Petronas (KLCC) di sini.

Ketibaan Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha pada kira-kira pukul 8 malam disambut oleh Anwar dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pasangan Diraja itu kemudiannya diiringi oleh Anwar dan Dr Wan Azizah ke tingkat 42 menara untuk majlis berkenaan, yang turut dihadiri Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Sultan Brunei dan Anwar kemudiannya meluangkan masa untuk meninjau pemandangan dari KLCC Skybridge di tingkat 42 yang menghubungkan menara berkembar itu, sebelum meninggalkan majlis.

Terdahulu Sultan Brunei yang tiba semalam untuk lawatan negara tiga hari di Malaysia mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya petang tadi di samping menyaksikan pemeteraian beberapa instrumen dua hala antara Malaysia-Brunei.

Sebelum ini Sultan Brunei dan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha diberi sambutan negara di Istana Negara di sini oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas