Berita

Trio pecut berpasukan lelaki, wanita negara kandas awal

NILAI 14 JUN 2023. Trio pecut berpasukan negara, Mohd Fadhil Zonis, Umar Hasbullah dan Muhammad Ridwan Sahrom ketika beraksi dalam acara pecut berpasukan lelaki elit pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia di Velodrom Nasional. STR/AZRUL EDHAM
- Diterbit 3 Ogos 2023 11:59 PM MYT

SKUAD berbasikal trek negara terkandas seawal pusingan kelayakan acara pecut berpasukan lelaki dan wanita pada Kejohanan Berbasikal Dunia 2023 yang berlangsung di Velodrom Sir Chris Hoy di Glasgow, Scotland hari ini.

Skuad lelaki dibarisi Umar Hasbullah, Muhammad Ridwan Sahrom dan Muhammad Fadhil Mohd Zonis tidak berjaya menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik untuk layak ke pusingan pertama selepas mencatat masa 44.583 saat (s) di kedudukan ke-14 daripada keseluruhan 18 pasukan.

Trio Belanda Roy van den Berg, Harrie Lavreysen dan Jeffrey Hoogland menjadi yang terpantas dengan catatan masa 42.046s diikuti Australia di tempat kedua (42.531s) dan Poland ketiga selepas merakam masa 42.916s.

Lima lagi negara mengesahkan tempat di pusingan seterusnya adalah Jepun, Perancis, Great Britain, Jerman dan China.

Sementara itu, trio wanita negara diwakili Nurul Aliana Syafika Azizan, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Anis Amira Rosdi menamatkan saingan di tempat kedua terakhir daripada keseluruhan 14 pasukan dengan catatan masa 50.544s.

Gandingan Lauren Bell, Sophie Capewell dan Emma Finucane dari Great Britain muncul yang terpantas apabila merekodkan 46.072s diikuti trio Jerman di tempat kedua (46.467s) dan China ketiga dengan catatan masa 46.679s.

Melengkapkan senarai negara ke pusingan pertama adalah Belanda, New Zealand, Mexico, Kanada dan Poland.

Dalam pada itu, bagi kategori Para yang diadakan serentak dengan kejohanan itu, nasib tidak menyebelahi dua wakil negara Nur Suraiya Muhamad Zamri dan Nur Azlia Syafinaz Mohd Zaid setelah masing-masing terlepas slot ke final acara 1 kilometer (km) ujian masa wanita B.

Nur Suraiya mengakhiri saingan pusingan kelayakan di tempat ketujuh dengan catatan masa 1 minit dan 12.692s sementara Nur Azlia di posisi kelapan (1:13.302s) dengan hanya enam pelumba terbaik layak ke final. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas