Berita

Sidang Belia Wilayah Persekutuan platform suara belia

ZALIHA (tengah) ketika Majlis Prapelancaran Sidang Belia Wilayah Persekutuan
- Diterbit 10 Mei 2024 11:03 AM MYT

PROGRAM Sidang Belia Wilayah Persekutuan (SBWP) dilihat sebagai platform buat generasi muda menyuarakan pandangan, cadangan atau kritikan terhadap pelaksanaan dasar sedia ada dan baharu di Wilayah Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata SBWP akan mengumpulkan 65 belia dalam lingkungan umur 18 hingga 35 tahun di mana lima peserta mewakili setiap Parlimen di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Ia akan dijalankan ala Parlimen dengan membuka peluang kepada golongan belia daripada pelbagai latar belakang. Kalau di Parlimen, kita ada dua blok iaitu kerajaan dan pembangkang, jadi saya rasa itu cadangan yang baik untuk berbuat demikian.

“Mereka yang dipilih akan bersidang untuk membahaskan usul dasar-dasar yang terkait dengan Wilayah Persekutuan melibatkan lima kluster utama iaitu Ekonomi, Sosial, Teknologi, Perundangan dan Dasar serta Alam Sekitar dan Kelestarian Alam,” ujar beliau pada sidang media selepas Majlis Prapelancaran Sidang Belia Wilayah Persekutuan.

Menurut Zaliha, golongan belia adalah komponen atau entiti yang penting memandangkan populasi mereka di negara ini adalah lebih ramai menghampiri 50 peratus.

“Golongan ini mahu suara mereka didengari, jadi saya rasa sudah tiba masanya mereka ini turut dijadikan komponen utama kepada pembentukan dasar.

“Justeru itu, saya berharap sidang tersebut akan mendapat pandangan, cadangan dan kritikan membina daripada golongan belia terutama terhadap polisi atau dasar yang telah dilaksanakan di Wilayah Persekutuan,” jelasnya.

Permohonan penyertaan sebagai ahli dibuka untuk para belia bermula 7 Mei hingga 17 Mei melalui laman web http://sidangbeliawp.my/ dan peserta yang terpilih akan disenarai pendek oleh Jawatankuasa Pemilihan Peserta.

Mesyuarat pertama SBWP akan dilaksanakan pada 12 hingga 15 Julai manakala mesyuarat kedua pula pada 8 hingga 11 November hadapan.

Program tersebut mendapat kerjasama daripada Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan (PL). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas