Berita

LHDN wujud peranan peguam di portal MyTax

- Diterbit 8 Mei 2024 11:50 AM MYT

LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) mewujudkan ciri ‘Peranan Peguam’ bagi membolehkan golongan itu mengemukakan borang nyata cukai keuntungan harta tanah (BNCKHT) pembayar cukai menerusi e-CKHT di portal MyTax.

LHDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan ciri itu diwujudkan selaras dengan Seksyen 57A(3) Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah (ACKHT) 1976.

Menurut agensi yang bertanggungjawab memungut dan mentadbir cukai langsung negara itu, permohonan untuk peranan peguam hanya dibenarkan untuk peguam di bawah firma guaman yang berdaftar dengan Badan Peguam.

Prosedur permohonan peranan peguam boleh dibuat dengan melayari https://mytax.hasil.gov.my/.

“Pemohon perlu log masuk ke MyTax dengan menggunakan nombor MyKad dan kata laluan. Sekiranya tiada Nombor Pengenalan Cukai (TIN), permohonan boleh dikemukakan melalui perkhidmatan e-Daftar di MyTax,” menurut kenyataan itu.

Maklumat lanjut berkaitan perkhidmatan peranan peguam itu boleh didapati daripada manual pengguna yang boleh dicapai pada Portal MyTax https://mytax.hasil.gov.my/ > Panduan Pengguna > Manual Pengguna Permohonan Dan Penamatan Peranan Peguam/Wakil Peguam. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas