Atlet Wilayah

WiPers galas misi besar ke SUKMA Sarawak

ZALIHA (tengah) menerima Kunjungan Hormat Delegasi Kerajaan Negeri Sarawak
- Diterbit 10 Mei 2024 12:15 PM MYT

KONTINJEN Wilayah Persekutuan (WiPers) bertekad untuk berusaha lebih gigih apabila dilabel antara pesaing terkuat oleh kontinjen tuan rumah, Sarawak dalam misi untuk muncul juara keseluruhan pada edisi ke-21 Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan berlangsung bermula 17 hingga 24 Ogos ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, beliau amat berbesar hati apabila delegasi dari Sarawak secara terbuka meletakkan kontinjen Wilayah Persekutuan sebagai antara pesaing terkuat tuan rumah.

“Pertama sekali saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Sarawak yang bakal menganjurkan SUKMA terbesar dengan penganjuran sebanyak 37 jenis sukan dan 488 acara sukan dipertandingkan.

“Kami amat berbesar hati apabila kontinjen Sarawak meletakkan kami sebagai salah satu pesaing terkuat buat Sarawak pada Ogos nanti.

“WiPers akan berusaha sebaik mungkin bagi memastikan matlamat kami untuk berada di kedudukan lima terbaik menjadi kenyataan,” katanya selepas menerima Kunjungan Hormat Delegasi SUKMA dan Para SUKMA Sarawak 2024 di pejabatnya baru-baru ini.

Sementara itu, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kontinjen Sarawak sedia maklum terhadap kemampuan Wilayah Persekutuan.

“Kita meletakkan WiPers sebagai antara pasukan terkuat bagi Sarawak dalam misi mereka untuk muncul juara keseluruhan,” ujar beliau yang mengetuai kunjungan hormat tersebut beserta Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam dan juga Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu; Pengerusi Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), Datuk Mohd Nasir Ali; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan & Ekonomi) Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Parang Abai @ Thomas dan juga Pengarah MSWP, Nik Ahmad Zahiruddin Nik Saleh.

Kontinjen WiPers kini sedang dalam fasa ketiga iaitu fasa akhir persiapan menghadapi SUKMA ke-21 dengan kemuncaknya adalah pelaksanaan Kem Latihan Pusat Kontinjen Wilayah Persekutuan yang bakal diadakan pada 29 hingga 31 Mei ini.

Dalam masa sama, kontinjen WiPers juga menyenaraikan sebanyak 1,016 atlet dalam senarai panjang untuk turut serta dalam kesemua 37 jenis sukan yang dipertandingkan pada SUKMA kali ini.

Sementara itu, satu Retreat SUKMA akan diadakan pada Jun 2024 bagi menetapkan sasaran akhir sebelum senarai akhir atlet Wilayah Persekutuan diputuskan pada Julai ini.

Untuk rekod, kontinjen Wilayah Persekutuan menduduki tempat ketiga pada SUKMA XX MSN 2022 dengan merangkul sebanyak 55 pingat emas, 69 perak dan 65 gangsa di belakang Johor dan Terengganu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas