Berita

Sukan ekstrem jadi content baharu KL

HANNAH Yeoh (tengah) mendengar penerangan daripada Khairul Azmir (dua dari kiri) mengenai sukan dron selepas merasmikan Karnival Sukan Ekstrem yang berlangsung di Kompleks Rakan Muda Bukit Kiara pada Sabtu.
- Diterbit 3 Mac 2023 4:45 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sentiasa menyokong penuh aktiviti sukan yang dijalankan di Kuala Lumpur termasuk membangunkan fasiliti sukan ekstrem bagi menambahkan urban content di sekitar bandar raya.

Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Khairul Azmir Ahmad berkata pihaknya bersedia menjadi rakan strategik kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membangunkan sukan tersebut di ibu kota.

“Kita bersedia untuk bekerjasama dan menjadi rakan strategik dengan KBS bagi memastikan program pembangunan semua jenis sukan termasuk sukan ekstrem di pelbagai peringkat dapat berkembang dengan baik.

“Selain itu ia mampu menjadi urban content baharu yang dapat menarik lebih ramai penggiat sukan tersebut ke ibu negara,” katanya kepada Wilayahku pada Sabtu.

Jelasnya, setakat ini pihak DBKL tidak mempunyai kawasan tertentu kerana pembangunan sukan ekstrem ini terletak di bawah tanggungjawab KBS dan mereka perlu memohon tanah dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) untuk menyediakan infrastruktur yang berkaitan.

“Apabila pengumuman menteri yang akan memanggil semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) termasuk DBKL, ia bertujuan untuk menyemak sekiranya ada fasiliti yang telah dilaksanakan di seluruh negara dilihat dapat membantu merancakkan lagi pembangunan sukan ini dan DBKL bersedia memenuhi seruan tersebut.

Kata Khairul Azmir, pihaknya difahamkan perancangan pembangunan sukan tersebut akan diadakan di Kuala Lumpur dan menteri akan mengadakan perbincangan bagi mencari formula yang sesuai untuk menyediakan fasiliti sukan tersebut.

“Berkemungkinan besar pihak DBKL mungkin menyediakan fasiliti ringkas untuk sukan tersebut di taman-taman awam dalam ukuran yang lebih kecil dan agar ia sesuai untuk dicuba oleh pengunjung taman.

“Selain itu, oleh kerana ia sukan ekstrem yang melibatkan banyak faktor keselamatan, maka pihak KBS dan DBKL akan memperhalusi pembinaan kemudahan itu dengan lebih ketat kerana ia turut melibatkan keselamatan pengguna serta orang ramai dan lokasinya sedang dibincangkan,” katanya.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata sukan ekstrem mempunyai potensi untuk dibangunkan di negara ini dan ia perlu melibatkan agensi yang berkaitan bagi menyediakan kemudahan tersebut.

Beliau berkata sukan ekstrem mempunyai potensi untuk dibangunkan, namun penting bagi KBS, Jabatan Belia dan Sukan, PBT serta persatuan sukan terlibat untuk duduk bersama dan mencari jalan bagaimana menyediakan kemudahan mencukupi.

“Kita kena pastikan terdapat pusat latihan tetap untuk mereka (penggemar sukan ekstrem). Jika tiada tempat latihan, atlet juga tidak tahu di mana mahu berlatih dan secara tidak langsung, sukan itu tidak boleh dibangunkan,” katanya.

Beliau juga menyarankan kepada PBT yang berminat membangunkan infrastruktur sukan ekstrem supaya berjumpa pihaknya dan persatuan sukan terlibat terlebih dahulu, bagi memastikan pembinaan mengikut spesifikasi ditetapkan.

Sementara itu, karnival yang berlangsung di Kompleks Rakan Muda Bukit Kiara selama dua hari itu dianjurkan bagi mencari bakat baharu sukan ekstrem; memberi pendedahan kepada peserta dan pengunjung tentang aspek keselamatan selain menekankan kepentingan amalan gaya hidup sihat.

Sebanyak empat acara dipertandingkan iaitu inline skating; skateboarding; basikal BMX dan larian berhalangan, manakala pengunjung turut diberi peluang mencuba beberapa aktiviti sukan ekstrem seperti push bike; roller skating; perlumbaan kereta kawalan jauh serta dron. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas