Berita

ATM tubuh Tabung Tragedi Lumut 24

- Diterbit 30 April 2024 3:58 AM MYT

KEMENTERIAN Pertahanan melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menubuhkan Tabung Tragedi Lumut 24 bagi meringankan beban keluarga 10 mangsa yang terkorban dalam nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), pada 23 April lalu.

Markas ATM dalam satu kenyataan berkata tabung khas itu akan diaktifkan bermula hari ini hingga akhir Jun depan.

“Tabung itu juga bertujuan bagi memudahkan warga ATM dan orang ramai untuk menghulurkan sumbangan kewangan kepada keluarga mangsa bagi membantu meringankan beban yang dipikul setelah kehilangan ahli keluarga yang tercinta.

“Sumbangan boleh dihulurkan terus secara atas talian (online) kepada akaun Affin Bank di nombor akaun: 100040001752 dengan menyatakan ‘Tabung Tragedi Lumut 24’ sebagai rujukan.

“Selain itu, sumbangan juga boleh dilakukan melalui cek atas nama ‘Tabung Kebajikan Angkatan Tentera’ dan diserahkan kepada Sel Kebajikan, Cawangan Staf Am, Markas Angkatan Tentera Malaysia, Bahagian Perkhidmatan Anggota, Jalan Padang Tembak 50634 Kuala Lumpur,” katanya hari ini.

Tambahnya lagi, sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh hubungi talian seperti berikut 03-4013 1023.

Pada 23 April lalu, negara dikejutkan dengan nahas udara yang meragut 10 nyawa apabila dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak.

Dalam tragedi pada jam 9.32 pagi itu, TLDM mengesahkan 10 anggotanya terkorban membabitkan tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga kru helikopter Fennec. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas