Berita

DBKL serbu premis hiburan langgar syarat lesen

PEGAWAI DBKL menampal notis pusat hiburan yang melanggar syarat operasi.
- Diterbit 3 Mac 2023 4:50 AM MYT

ENAM premis yang menjalankan aktiviti restoran, pub, kelab malam dan pusat hiburan sekitar Parlimen Cheras dan Bukit Bintang diserbu Jabatan Penguatkuasaan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini.

Tindakan Khas Premis Berisiko (Kelab/Premis Hiburan) Siri Empat 2023 itu dilaksanakan selepas mendapat maklumat premis berkenaan telah melanggar syarat lesen.

BUKTI peniaga ‘rambo’ mencuri elektrik.

Menurut hantaran yang disiarkan oleh Facebook rasmi DBKL, tiga tindakan penutupan diambil serta-merta dan peralatan juga disita di bawah Seksyen 17, Akta Hiburan 1992.

“Ini termasuklah membuka tiga kertas siasatan (IP) di bawah Seksyen 4(1)(a) dan 4(1)(b) kerana  mengadakan aktiviti hiburan (live band/DJ) tanpa kebenaran) Kaedah-Kaedah Hiburan (WPKL) 1993.

“Kita juga menyita 16 pelbagai peralatan muzik tiga buah premis berkenaan melibatkan tablet, pemutar, mikrofon, pembesar suara, pengadun, pengawal mikrofon dan pengawal bunyi,” katanya.

DBKL berkata kesemua peralatan itu telah dihantar ke Stor Sitaan, Jalan Lombong, Taman Miharja untuk didokumentasi dan penyimpanan sementara sebelum tindakan lanjut terhadap pemilik premis.

“Tindakan penguatkuasaan ini akan diteruskan dari semasa ke semasa mengikut kawasan tumpuan parlimen di Wilayah Persekutuan  Kuala Lumpur,” katanya.

Sementara itu, DBKL turut mengambil tindakan menyita sembilan gerai serta khemah perniagaan ditinggalkan selepas berniaga di tepi dan bahu jalan termasuk menghalang laluan pejalan kaki di sekitar Kuala Lumpur.

DBKL dalam kenyataan berkata operasi itu dilaksanakan oleh 18 orang anggota penguat kuasa dan kakitangan Pejabat Cawangan DBKL di bawah Seksyen 46(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 di sekitar Danau Kota dan Taman Melati.

“Peniaga dikenakan tindakan penguatkuasaan kerana didapati membina struktur kekal di laluan awam, menyambung bekalan elektrik secara ‘haram’ daripada tiang lampu awam dan meninggalkan peralatan perniagaan di tapak.

“Tindakan seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa terhadap mereka yang melanggar peraturan,” katanya.

Jelas DBKL, kesemua peralatan perniagaan yang disita telah dipindahkan ke Stor Sitaan DBKL Jalan Lombong, Taman Miharja, Kuala Lumpur. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas