Berita

Enam kawasan dipilih untuk penilaian keselamatan jalan raya

MAHADI (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Pembentangan Kemajuan Projek Keselamatan Jalan Raya bersama MIROS dan BIGRS baru-baru ini.
- Diterbit 3 Mac 2023 4:19 AM MYT

USAHA meningkatkan keselamatan jalan raya menjadi fokus utama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menjadikan jalan raya di Kuala Lumpur lebih selamat dan bebas dari risiko tinggi.

Bercakap mengenai perkara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata DBKL telah memberikan penekanan dalam meningkatkan tahap keselamatan jalan raya melalui pelbagai inisiatif yang dijalankan termasuk kajian had laju 30 kilometer sejam (KMSJ) di beberapa zon terpilih.

“Melalui Jabatan Pengangkutan Bandar (JPB), mereka telah mengenal pasti beberapa tapak di mana projek demonstrasi bersama Global Designing Cities Initiative ini boleh dilaksanakan.

“Kawasan yang dipilih terletak berhampiran sekolah dan memberi fokus kepada lintasan selamat,” katanya dalam Ucapan Mesyuarat Pembentangan Kemajuan Projek Keselamatan Jalan Raya baru-baru ini.

Menurut Mahadi, bandar raya Kuala Lumpur dipilih sebagai salah satu daripada 28 bandar di bawah Bloomberg Philanthropies Initiative for Global Road Safety (BIGRS) pada tahun 2020.

“DBKL amat komited untuk meningkatkan keselamatan jalan raya dengan memperbaiki infrastruktur awam dan sistem mobiliti di bandar ini.

“Kami memberi penekanan untuk mengurangkan had laju di jalan raya, terutamanya di kawasan sekolah dan hab transit di mana terdapat banyak pejalan kaki,” katanya.

Inisiatif Kedermawanan Bloomberg untuk Keselamatan Jalan Raya Global (BIGRS) membantu melaksanakan pakej komprehensif aktiviti yang terbukti dapat menyelamatkan nyawa.

Dengan kerjasama organisasi antarabangsa dan kerajaan, ia memberi tumpuan kepada lima bidang utama untuk meningkatkan keselamatan jalan raya dan menyelamatkan nyawa; mengukuhkan perundangan negara; mempertingkatkan pengumpulan dan pengawasan data; mengubah tingkah laku pengguna jalan raya; menambah baik infrastruktur jalan raya dan menaik taraf keselamatan kenderaan.

Beliau turut mengalu-alukan input daripada semua hadirin yang dihormati sekalian untuk menjayakan projek ini dan memberi cadangan untuk menjadikan jalan raya di Kuala Lumpur lebih selamat dan bebas dari risiko tinggi.

“Data adalah asas kepada kerja ini dan kami memerlukan kerjasama daripada semua pihak untuk membantu kami memahami risiko di lokasi yang dikenal pasti dan berusaha untuk menguatkuasakan peraturan keselamatan.

“Sistem yang lebih selamat dapat mengurangkan kadar nahas atau pelanggaran di jalan raya dan DBKL bertekad untuk meningkatkan kapasiti dalam membentuk jalan yang lebih selamat bersama-sama dengan rakan kongsi BIGRS dan Institut Keselamatan Jalan Raya (MIROS),” katanya.

Dalam pada itu, sebanyak enam kawasan telah dipilih untuk penilaian keselamatan jalan raya BIGRS yang membabitkan tiga kawasan pejalan kaki atau pedestarian iaitu kawasan Sekolah Danau kota, Jalan Wangsa Perdana dan Jalan Menteri/Jalan Cochrane.

Baki tiga kawasan lagi adalah untuk city bike di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Bulatan Datuk Onn dan juga kawasan yang melibatkan kajian hot spot kemalangan jalan raya.

Hadir sama Pengerusi MIROS, Profesor Dr Wong Shaw Voon. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas