Berita

SOP baharu PKP dikeluarkan Khamis ini

DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB
- Diterbit 7 April 2020 8:37 AM MYT

PUTRAJAYA – Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengeluarkan prosedur standard operasi (SOP) baharu bagi  Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berdasarkan zon tertentu, Khamis ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, SOP baharu itu sedang diperhalusi termasuk dari segi kesan sehingga diberikan kelonggaran berbanding sebelum ini.

“Mungkin ada kelonggaran, sekiranya sifar positif Covid-19 (Zon Hijau) boleh lakukan sebarang pergerakan keluar dan masuk penduduk daripada zon lain terutama merah ke kawasan tersebut.

“Ini bagi mengelakkan Zon Hijau menjadi Zon Merah susulan penularan Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Ismail Sabri memberitahu, walaupun PKP ditamatkan pada 14 April ini sekalipun SOP tertentu akan tetap dijalankan kerajaan.

“Kita tahu rakyat gelisah, tidak sanggup berada di dalam rumah dan cuba membantu mereka tetapi dalam masa sama kajian terhadap kesan dilakukan apabila kelonggaran diberikan semula.

“Kita mahu ada kebebasan tetapi tidak mahu apa yang dilakukan dalam sebulan dengan kesilapan kita terpaksa kembali dan tutup dengan lebih lama,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas