Berita

Tak pilih darjat, mahu kuarantin di hotel mewah kos tanggung sendiri

KERAJAAN hanya membayar kos RM150 sehari bagi penginapan di hotel-hotel yang diwartakan sebagai pusat kuarantin. Gambar hiasan
- Diterbit 7 April 2020 9:00 AM MYT

PUTRAJAYA – Kerajaan menafikan berlaku keadaan ‘antara dua darjat’ apabila ada individu yang dikuarantin di hotel mewah bertaraf lima bintang.

Sebelum ini kerajaan mengumumkan sebanyak 45 buah hotel bertaraf tiga bintang ke atas telah diwartakan sebagai pusat kuarantin Covid-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebenarnya kerajaan hanya membiayai kos untuk bilik dan makan terhad kepada RM150 sehari.

Bagaimanapun, katanya, terdapat segelintir individu termasuk dalam kalangan diplomat yang ingin memilih hotel sendiri bagi menjalani pusat kuarantin.

“Kalau hendak pilih hotel sendiri dan bilik berbeza, maka kos ditanggung oleh mereka sendiri.

“Kita juga menetapkan 45 hotel yang telah diwartakan sahaja boleh dipilih bagi memudahkan pengawasan,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini.

Menurut beliau, prosedur operasi standard (SOP) adalah sama walaupun mereka menginap di hotel iaitu berada di bilik dan tidak dibenarkan saudara-mara melawat mereka.

Ismail Sabri menjelaskan, peringkat awal wujudnya pusat kuarantin di hotel susulan terdapat permohonan daripada kedutaan luar.

“Tiada pengecualian mereka yang pulang dari luar negara termasuk diplomat asing untuk dikuarantinkan.

“Jadi, mereka minta tinggal di hotel dengan kos dibayar kedutaan masing-masing,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas