Singgah

Mendaki laluan lava Gunung Merapi

- Diterbit 26 April 2024 9:50 AM MYT

BAYANGKAN melepak atas bean bag, menghirup udara nyaman sambil melayani alunan lagu-lagu malar segar daripada live band dalam suasana nyaman udara gunung! Lokasi atas gunung pula membuatkan Obelix Seaview di Yogyakarta, Indonesia sebagai pusat rekreasi yang ideal bagi pengunjung yang ingin distress sambil menghayati keindahan alam.

Kompleks liburan ini direka bertingkat-tingkat dalam kawasan terbuka di mana setiap tingkat menyediakan konsep hiburan tersendiri. Bagi yang suka aktiviti mencabar boleh mencuba ayunan buaian di tepi tebing gunung menghadap Laut India atau bergambar atas jaringan di tepi tebing gunung dengan deruan pantai di bawahnya! Di satu tingkat yang lebih tinggi, anda boleh merakam foto di lookout point khas berlatarbelakang langit Yogyakarta.

Sebenarnya rombongan kami yang ditaja Trend Tours & Travel dan Expeditiongoholidays seramai lebih 25 orang terdiri daripada ejen pelancongan Malaysia serta dua orang dari Thailand mengikuti lawatan selama empat hari ini pada awal Mac lalu. Pilihan lain bagi mereka yang suka aktiviti mendebarkan ialah menjejaki laluan pendakian lava Gunung Merapi yang pernah meletup pada 2010 lalu.

Pendakian gunung merupakan antara destinasi paling menarik dalam pakej lawatan ini. Pada kejadian tahun 2010 tersebut, banjir lava panas dari gunung berapi Merapi telah mengorbankan 353 orang dan memusnahkan sebuah kampung! Sejak itu, pihak kerajaan telah membina tempat perlindungan ‘bunker’ bagi melindungi penduduknya ketika berlaku letupan.

Rombongan menjejaki laluan magma pendakian yang berjongkang-jongkit menggunakan kereta pacuan empat roda dengan emosi yang bercampur-baur antara bimbang dan teruja. Sebelum itu, kami dapat melihat daripada tingkap bilik hotel, akan asap berkepul-kepul keluar daripada puncak Gunung Merapi.

Namun kami diingatkan oleh Pak Cahyo Triono (pemandu pelancong) agar tidak panik kerana Gunung Merapi baru berada di peringkat awal letusannya. Biasanya letusan gunung berapi akan melalui beberapa fasa letupan sebelum ia menjadi bahaya dan memaksa perpindahan orang ramai dari kawasan gunung tersebut. Begitupun, agak mengecewakan kerana hujan renyai yang turun telah menyembunyikan kehebatan Gunung Merapi.

Kraton, seni & citarasa Jawa

YOGYAKARTA sememangnya terkenal dengan kekayaan budaya dan seni dalam gaya hidup seharian mereka. Lawatan kami bermula dengan melawat istana Diraja yang dikenali sebagai Keraton Yogyakarta yang dibuka kepada orang ramai sekalipun sultan dan keluarganya masih menetap di sebuah istana berhampiran. Namun ia berada dalam kawasan larangan kerana sultan masih melaksanakan fungsi rasminya dari kediaman tersebut. Setiap rombongan pelancong disediakan seorang jurucakap kompleks istana bagi penerangan mengenai setiap bahagian yang dilawati.

Menariknya pada sebelah malam, kami dibawa menjamu selera dalam suasana istana ‘kraton’ di sebuah mahligai silam yang diubah menjadi restoran lima bintang oleh pemiliknya. Tidak hairanlah restoran Sekar Kedhaton Kotagede menjadi pilihan golongan ternama.

Bahagian luar kelihatan gah dengan tangga marmar melingkar ke sebuah dewan di tingkat atas, beranda mengelilingi mahligai bagi tetamu menikmati pemandangan. Bahagian dalaman bercirikan seni bina Jawa mencetuskan suasana istana ala ‘kraton’, ditambah dengan menu tempatan dan muzik live menggunakan peralatan muzik tradisional di pentas khas.

Lambaian Desa

KEINDAHAN alam semula jadi dan kedamaian desa sering menjadi tarikan pelancong. Kami mendapat pendedahan langsung pada gaya hidup desa penduduk tempatan menerusi lawatan ke Obelix Village yang menonjolkan suasana gaya hidup desa.

Pengunjung akan lalui laluan denai di tepi sawah padi untuk sampai ke kompleks yang luas ini. Landskap yang indah dengan bunga-bungaan berwarna-warni dan pohon-pohon yang redup sangat mendamaikan perasaan. Kawasan luas ini merangkumi beberapa tarikan khas misalnya mini zoo, mini kebun dan taman bunga dengan deruan sungai cetek.

Emosi kenyamanan desa diteruskan pada pengalaman menjamu selera makanan tradisional Jawa dalam pondok kayu yang dikelilingi sawah padi! Itulah tarikan utama restoran Swarung. Sambil menjamu selera, anda dapat melihat sekumpulan burung kecil leka mematuk bijirin padi.

Satu lagi pilihan restoran berkonsep desa ialah restoran Jimbaran yang menawarkan keenakan hidangan istimewa ikan bakar dan makanan tradisional lain.

Kafe Icikiwir sememangnya menjadi tumpuan golongan pelajar pusat-pusat pengajian tinggi di Yogjakarta. Ini disebabkan menu tradisional yang ringkas seperti kerabu pucuk betik dan ayam kampung goreng.

Hotel & Malioboro

SELAMA empat hari di Yogyakatra, rombongan kami berkesempatan menginap di dua buah hotel di kota raya yang kaya dengan landskap bercirikan seni bina Jawa. Pada hari pertama, kami menginap di H Boutique Hotel yang terletak di tengah kota raya ini. Hiasan dalaman yang eksklusif menyemarakkan elemen intim pada pilihan dekorasi.

Keesokannya kami bepindah pula ke Hotel 101 Yogyakarta Tugu yang menampilkan konsep gaya hidup trendi. Lokasi kolam renang di bahagian tengah hotel mencetuskan unsur air yang mencetus ketenangan.

Kebanyakan hotel-hotel utama terletak berhampiran tumpuan membeli-belah terkenal lagi sibuk di Yogyakarta iaitu Kompleks Malioboro. Anda boleh dapati pelbagai barangan batik dan kraf tempatan serta makanan dan minuman tradisional seperti jamu yang terkenal beca bermotor serta hiburan jalanan.

Sekiranya Bandung terkenal dengan kek Brownies maka Yogyakarta pula hebat dengan pilihan kuih Bakpia dalam beberapa perasa inti seperti kacang hijau (asli), coklat dan keju.


Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas