Berita

Skuad bawah 22 tahun perlu menang lawan Filipina

ADAM dalam satu sesi latihan bersama skuad bola sepak negara di Manila.
- Diterbit 2 Disember 2019 3:37 AM MYT

Oleh Muhamad Nabeel

Pasukan bola sepak negara di Sukan SEA Manila perlu cepat serasi bagi memastikan mampu mencatatkan kemenangan pertama dalam perlawanan kedua menentang pasukan tuan rumah, Filipina pada Jumaat ini.

Ketua pasukan bawah 22 tahun kebangsaan, Adam Nor Azlin berkata, skuad bola sepak negara perlu memperkemaskan permainan bagi memastikan tiga mata dapat dikutip dalam aksi perlawanan Kumpulan A itu.

Dia menyatakan, sekadar seri 1-1 ketika bertemu Myanmar dalam aksi sulung Kumpulan A pada Isnin lalu seakan menyentak para pemain skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu dan mereka perlu bangkit dalam pertemuan dengan Filipina.

“Kami perlu memperkemaskan lagi permainan dalam perlawanan seterusnya. Insya-Allah kami akan bermain dengan lebih baik ketika menentang Filipina,” ujarnya.

Katanya lagi, pasukan negara juga perlu cepat serasi dan perlu menang untuk ketiga-tiga baki perlawanan.

Sementara itu, Kim Swee berkata, perlawanan pertama bukan sesuatu yang mudah dan para pemain juga sudah lama tidak beraksi bersama.

“Pemain kita menghadapi sedikit masalah pada babak pertama tetapi bertambah baik pada babak kedua. Satu mata itu amat berharga kepada kita dan kami tahu masih ada baki tiga perlawanan selepas ini.

“Daripada kehilangan keseluruhan mata, kami meraih satu mata untuk mencerahkan peluang kami ke peringkat seterusnya,” ujarnya.

Pada aksi menentang Myanmar itu, jaringan menerusi tandukan pemain tinggi lampai Hadi Fayyadh pada minit ke-23 hasil hantaran pemain Akhyar Rashid berjaya menyelamat pasukan negara bagi mengutip satu mata.

Dalam satu lagi perlawanan, pasukan tuan rumah turut seri 1-1 ketika bertemu pasukan Kemboja.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas