Artikel

Jun Hao cuba perbaiki rekod

AKSI memukau Jun Hao ketika menentang lawan.
- Diterbit 2 Disember 2019 3:44 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]

Pemain badminton perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao mengakui sedang berusaha sebaik mungkin untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2024 sekali gus menjadi kayu pengukur kepada prestasinya.

Berazam untuk mencapai cita-citanya itu, juara Remaja Asia 2017 ini komited mengatur strategi untuk mencapai ranking yang lebih baik dan menanam harapan membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa.

Untuk itu, pemain remaja berusia 20 tahun ini berharap dia layak turut serta dalam Projek 24 yang diperkenalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada September lalu yang mana penilaian terhadap pemain akan bermula pada 31 Disember 2019.

Projek tersebut membawa misi meraih pingat emas di Sukan Olimpik 2024 sekali gus menjadi finalis Piala Thomas pada tahun yang sama.

“Saya berharap nama saya tersenarai dalam projek 24 tersebut. Ini kerana, saya yakin dalam tempoh lima tahun akan datang, saya mampu memperbaiki rekod serta mencapai prestasi lebih tinggi lagi,” ujarnya kepada Sukan Wilayahku.

Katanya lagi, dia berbangga dengan barisan skuad badminton negara yang hebat dan besar kemungkinan mereka mampu bertanding di temasya gilang-gemilang tersebut jika mengekalkan semangat juang yang ada seperti sekarang.

Bercerita lanjut tentang penglibatannya dalam sukan badminton, pemain yang baru sahaja selesai beraksi pada Kejohanan Antarabangsa India 2019 ini berkata, perlawanan adalah cara untuknya memperbaiki prestasi diri.

“Setiap kali menyertai kejohanan, saya akan set minda untuk persembahkan yang terbaik kepada penyokong. Sekurang-kurangnya jika kalah sekalipun, saya tidak akan berasa kesal kerana sudah mencuba yang terbaik,” ujarnya.

Sepanjang bergiat dalam sukan badminton, pemain ini berkata, dia sentiasa kagum dengan pencapaian pemain nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei kerana kehebatan pemain profesional itu beraksi pada usia 37 tahun.

“Pada waktu lapang, saya akan menghabiskan masa menonton cara permainan pemain hebat dalam dan luar negara untuk melihat teknik permainan mereka yang licik dan hebat,” ujarnya yang turut kagum dengan juara dunia dari China, Lin Dan.

Jun Hao mula bermain badminton ketika berumur lapan tahun dan kejayaannya muncul sebagai juara remaja Asia 2017 merupakan detik indah yang tidak dapat dilupakan.

“Ia menjadi titik tolak permulaan perjalanan karier sebagai pemain badminton dan sejujurnya setiap kali meraih kejayaan ia menjadi pembakar semangat untuk berjuang ke hadapan,’’ katanya.

Pada kejohanan yang berlangsung di Jaya Raya Sports Hall Training Center, Jakarta, Indonesia itu, Jun Hao menewaskan pemain China, Bai Yupeng 21-6, 20-22, 21-17 setelah bertungkus-lumus dalam pertarungan selama satu jam 14 minit.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas