Berita

Skim Bantuan Pemakanan YWP bakal diteruskan Jun ini

SKIM bantuan membolehkan pelajar lebih fokus dalam sesi pembelajaran. - Gambar hiasan
- Diterbit 26 April 2024 10:10 AM MYT

SKIM Bantuan Pemakanan Sekolah Menengah di bawah inisiatif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) bakal diteruskan bermula Jun ini.

Eksekutif Kanan Pembangunan Komuniti, Jabatan Pembangunan Komuniti YWP (P.E.S.A.T), Siti Nadiah Mohd Ariff berkata ia akan dilaksanakan secara serentak bermula Jun dengan melibatkan 101 sekolah menengah yang terpilih di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Skim bantuan makanan ini telah dilaksanakan sejak tahun 2016 namun terhenti seketika susulan pandemik COVID-19.

“Kami faham dengan keadaan ekonomi masa kini, ramai ibu bapa yang sedang ‘berperang’ untuk menstabilkan kewangan mereka apatah lagi bagi mereka yang mempunyai lebih daripada seorang anak yang bersekolah.

“Jadi, inisiatif ini digerakkan bagi membantu mengurangkan beban dan masalah yang dihadapi pelajar-pelajar sekolah menengah terutamanya yang terdiri daripada keluarga golongan berpendapatan rendah (B40).

“Insya-Allah dengan bantuan ini, mereka (pelajar) lebih fokus dalam sesi pembelajaran dan mereka hanya perlu fikir cara meningkatkan prestasi dalam pembelajaran untuk berjaya seterusnya mampu mengubah kehidupan keluarga pada masa hadapan,” katanya.

Menurut Siti Nadiah, pelaksanaan skim bantuan makanan ini akan melibatkan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dengan pihak sekolah menengah yang terpilih.

Selain itu, YWP juga menerima RM2.9 juta dana daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), sumbangan melalui Pusat Pungutan Zakat (PPZ) menggunakan dana wakalah Tabung Haji serta dari Bank Muamalat Malaysia Berhad untuk pelaksanaan program ini bagi sesi 2024/2025.

“Jabatan Pendidikan akan mengenal pasti pelajar-pelajar dalam likungan B40 dan setiap hari pada waktu rehat, pelajar berkenaan boleh mengambil makanan berupa lunch box di kantin sekolah.

“Kami juga akan sentiasa peka dengan prosedur operasi standard (SOP) di mana makanan yang disediakan dibungkus rapi selain berupa makanan sihat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Siti Nadiah berkata bagi pelaksanaan di Labuan pula, YWP akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa untuk memastikan pelajar yang layak dan terpilih tidak tercicir daripada menerima bantuan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas