Berita

HARTA ketengah tradisi warisan

ORANG awam melihat koleksi yang dipamerkan di Habib Ampang
- Diterbit 26 April 2024 10:15 AM MYT

SEJAK dilancarkan pada Ogos 2023, HARTA yang merujuk kepada HABIB: Action for the Revival of Traditions and Arts terus komited dalam memperjuangkan pemeliharaan, pendidikan dan dialog terbuka mengenai warisan dan budaya Malaysia.

Dari pameran berkala di galeri seni sehingga muzium barangan kemas warisan yang memukau, HARTA sering menganjurkan acara, sesi perkongsian percuma untuk orang ramai dan bengkel yang mengetengahkan tradisi-tradisi Malaysia dengan kerjasama berterusan bersama sekolah-sekolah, universiti dan institusi-institusi budaya untuk meningkatkan ilmu dan kesedaran dalam kalangan masyarakat.

Menurut Pengarah HARTA, Mirsham Meer, dalam pameran terbarunya, HARTA mempersembahkan Interwoven Realities iaitu sebuah pameran kumpulan yang menampilkan 32 pelukis berbakat yang mana masing-masing membawa perspektif unik dalam mendasari kewujudan seni yang kompleks.

“Pameran yang bermula pada 18 April sehingga 11 Mei 2024 itu merupakan sebuah pameran mempesonakan dengan ungkapan seni yang mengkaji persimpangan realiti yang berbeza dan jaringan sempadannya.

“Menghiasi dinding-dinding HARTA, Interwoven Realities menjemput pengunjung untuk meneroka pelbagai rupa dan gaya dunia yang dibentuk dan dihubungkan melalui lensa artistik.

“Selain itu, pengunjung juga boleh selami karya seni dalam beraneka stail dan medium yang mencerminkan sifat kepelbagaian realiti yang dikongsi bersama sambil melepasi batasan persepsi konvensional,” ujarnya.

Menariknya, beliau berkata Interwoven Realities disusun atur oleh perunding seni, Sarah Abu Bakar dengan gabungan 32 artis termasuk nama-nama terkenal seperti Anniketyni Madian, Nor Tijan Firdaus, Fazrin Abdul Rahman, Nini Marini, Agnes Lau, Alicia Lau, Cheong Tuck Wai, Anas Afandi, Cheong See Min, Ang Xia Yi dan Kimberly Boudville.

“Sejak dari awal, HARTA terus teguh dalam komitmennya sebagai platform yang meraikan warisan dan kesenian Malaysia, jadi kami sangat teruja untuk mempersembahkan Interwoven Realities iaitu pameran terbesar kami setakat ini.

“Kami berharap pengunjung dapat menyelami diri mereka dalam karya-karya yang menakjubkan ini bersama 32 bakat luar biasa dan memperoleh pandangan baru melalui pameran ini,” ujarnya.

Mirsham Meer berkata Interwoven Realities menceritakan tenunan yang kompleks dalam kewujudan melalui tujuh naratif bertema yang diolah sendiri oleh setiap artis iaitu Abstrak (Di mana sebuah bentuk melarut jadi inti pati); Seni Digital (Penumpuan teknologi dan kreativiti); Figuratif (Kedalaman pengalaman manusia); Garis Geometri (Keharmonian tradisi, materialiti dan intropeksi); Seni Arca (Menzahirkan visi artistik dalam 3D); Seni Berdasarkan Teks (Gabungan semantik dan grafik) serta Tekstil, Serat dan Seni Alternatif (Penyusunan ekspresi emotif).

“Sehingga kini, HARTA telah menampilkan beberapa pameran seperti ‘OPEN HOUSE’, persembahan sulung yang menyelami sifat pelbagai segi tempat domestik; ‘There Will Be Dragons in My Future Dreams’ iaitu sebuah pameran oleh seniman digital, Chong Yan Chuah yang mana mengubah ruang HARTA untuk menjadi pameran imersif melalui video, muzik dan aroma. Terbaru, HARTA juga mempamerkan ‘Perjalanan 10 Tahun dalam Seni Kaligrafi Islam’ oleh Seniman Kaligrafi Islam, Husin Hourmain.

“Buat mereka yang berminat untuk melihat hasil karya-karya unik di HARTA, boleh datang pada setiap hari Selasa hingga Ahad bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas