Selebriti

Siti Nurhaliza puji sikap usahawan berkongsi rezeki

baru-baru ini.||
- Diterbit 4 Jun 2022 12:00 AM MYT

PENYANYI nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza memuji golongan usahawan yang sentiasa menyokong antara satu sama lain untuk berjaya.

Beliau berkata menjadi sesuatu perkara yang positif untuk saling membantu dalam memastikan setiap orang yang menceburkan diri dalam perniagaan terus berada di landasan yang betul.

“Tahniah saya ucapkan kepada semua usahawan Richworks Group yang menjadi inspirasi kepada usahawan di luar sana. Dr Azizan juga insan yang disayangi ramai.

“Ketika sampai tadi saya nampak deretan kereta mewah tersusun, Mas ya-Allah. Hebat belaka semuanya,” katanya ketika muncul membuat persembahan di Majlis Jamuan Aidilfitri Usahawan Jutawan Richworks 2022 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Siti Nurhaliza juga seronok melihat golongan usahawan yang sentiasa bersedia berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan.

SITI dan Dr Azizan berduet lagu Widuri dalam Majlis Jamuan Aidilfitri Usahawan Jutawan Richworks 2022 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pelantun lagu Biarlah Rahsia itu juga berkongsi rasa bangga apabila anak dan menantunya iaitu Asyraf Khalid serta Tya Arifin antara usahawan bimbingan Richworks yang berjaya dengan produk mereka.

“Dr pernah datang ke rumah dan berkongsi pengalaman dengan kami. Lebih bermakna apabila anakanda saya Asyraf dan Tya menjadi antara result yang nyata dan berada dalam kelompok titan.

“Pastinya, ayahanda Datuk K sangat gembira dengan pencapaian mereka hasil bimbingan Dr Azizan. Terbaru Aazief juga sudah sertai jadi harap dia juga berjaya dan bukan main-main,” katanya berceloteh.

Pada majlis itu, Siti Nurhaliza turut berjaya menjemput Datuk Wira Dr Azizan Osman naik ke pentas dan berduet lagu Widuri dengannya.

Siti Nurhaliza turut sempat mengusik golongan usahawan bergelar suami agar sentiasa memenuhi permintaan isteri untuk rezeki yang lebih luas.

Beliau menyampaikan lima lagu antaranya Sesuci Lebaran, Lip Lap Raya dan Nazam Lebaran.

Kumpulan Dolla yang turut membuat persembahan di Majlis itu turut berkongsi pandangan mengenai insentif 10 X Bina Bisnes Berjaya iaitu kursus perniagaan percuma kepada 10 ribu peserta dalam membantu dan melahirkan usahawan daripada golongan muda.

Kongsi Dolla, kempen tersebut merupakan sebuah galakan yang sangat bagus kepada usahawan muda apatah lagi ramai yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sebelum ini.

“Kami rasa ini adalah insentif yang sangat bagus untuk usahawan dari golongan muda kerana selepas PKP ramai yang terkesan.” kata mereka

Tambah Dolla, mereka juga akan muncul dengan barangan eksklusif khas buat peminat yang dijangka berada di pasaran tidak lama lagi.

“Kami dapat kongsikan yang pada tahun ini ada banyak kejutan dan hadiah menanti untuk peminat.

“Mengenai produk dari Dolla sendiri tidak dinafikan kami dapat banyak permintaan daripada peminat untuk keluarkan barangan eksklusif seperti ‘stick’ dan sebagainya. Kami tahu apa yang mereka inginkan dan nantikan.” kata mereka menutup bicara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas