Fokus

Pelan Tindakan Tebatan Banjir Kilat capai keputusan positif

BEG pasir diletakkan di sepanjang sungai di Jalan Rahmat Chow Kit yang merupakan kawasan rendah dari permukaan sungai bagi
- Diterbit 3 Jun 2022 11:00 PM MYT

KESAN pemanasan global merupakan faktor utama berlakunya peningkatan cuaca ekstrem di seluruh dunia. Tidak terkecuali bandar raya Kuala Lumpur turut menerima kesan yang agak membimbangkan sejak akhir-akhir ini. Perubahan iklim seperti ribut, banjir dan gelombang panas yang luar biasa turut mempengaruhi kehidupan warga kota.

Banjir kilat disebabkan perubahan cuaca yang mendadak adalah bertepatan dengan ramalan umum oleh kebanyakan saintis yang menyatakan secara jelas bahawa pemanasan global yang dialami akhirnya akan mempengaruhi keadaan ini khususnya di bandar raya Kuala Lumpur.

DATUK Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah (dua dari kanan) mendengar taklimat mengenai situasi
semasa banjir kilat sejurus tiba dari lawatan kerjanya di Jepun baru-baru ini.

Sejak peristiwa banjir kilat yang kerap berlaku akhir-akhir ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memperkenalkan Pelan Induk Tebatan Banjir Kilat Kuala Lumpur 2022 pada 9 Mei lalu yang mengandungi 14 langkah interim untuk mengatasi masalah tersebut dan melibatkan kira-kira 35 lokasi hot spot yang telah dikenal pasti.

14 langkah interim yang terkandung di dalam pelan tersebut adalah berpandukan kepada ramalan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorolagi (MetMalaysia) dan ia telah dilaksanakan ketika banjir kilat yang berlaku pada 25 Mei yang lalu.

PENGARAH Eksekutif Sosio Ekonomi DBKL (dua dari kanan), Datuk Anwar Mohd Zain memantau proses membina tembok beg pasir bagi menghalang limpahan air sungai baru-baru ini.

Pelan tersebut nyata memberikan kesan positif dan tindakan mengatasi banjir menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan sekali gus dapat menangani masalah tersebut dalam waktu yang singkat.

Berbanding kejadian-kejadian banjir kilat yang lalu, melalui perancangan, persediaan dan tindakan yang lebih rapi serta tahap kesiapsiagaan yang lebih tinggi telah mengurangkan impak bencana dan tidak menyebabkan kerugian kepada orang ramai.

KERJA-KERJA pembersihan giat dijalankan bagi mengembalikan keadaan bandar raya Kuala Lumpur kepada keadaan asal.

Dalam kejadian banjir kilat itu, hanya enam lokasi yang terlibat iaitu Jalan Rahmat; Jalan Ipoh Batu 3; Jalan Segambut; Jalan Dutamas 2; Lebuhraya Sultan Iskandar susur ke Jalan Kuching dan Jalan Ampang (di hadapan Air Terjun Bukit Nanas). DBKL melalui flying squad antara petugas barisan hadapan yang telah dikerahkan di kesemua lokasi-lokasi hot  spot yang telah dikenal pasti sebagai langkah berjaga-jaga.

Antara tugasan utama yang perlu dilaksanakan adalah memastikan saluran keluar air larian ke longkang tepi jalan tidak tersumbat atau terhalang dan memastikan longkang scupper berada dalam keadaan baik.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr  Shahidan  Kassim, operasi pencegahan banjir kilat yang berasaskan kepada 14 tindakan interim itu berjaya mengurangkan impak banjir kilat di Kuala Lumpur yang menyaksikan langkah-langkah mitigasi yang diuar-uarkan sebelum ini berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan.

Jelas Shahidan, pelan tindakan itu menunjukkan keberhasilan apabila tempoh masa penyusutan air banjir yang bertakung di jalan raya menjadi lebih pendek dan direkodkan kurang daripada 30 minit dan tiada laporan mengenai kenderaan terkandas yang direkodkan.

KAKITANGAN DBKL sedang mengawal lalu lintas serta
berusaha memastikan longkang scupper tidak tersumbat
bagi melancarkan aliran air.

Selain itu, pihak DBKL turut menyediakan 120 pam air mudah alih berkuasa tinggi dan berkuasa kecil bagi mengepam keluar air yang bertakung di kawasan yang dilanda banjir kilat.

Melalui pelan tindakan tersebut, 5,000 beg pasir (sandbags) telah diletakkan di tebing-tebing sungai telah berjaya menghalang limpahan air dari Sungai Klang dan Sungai Gombak ke kawasan-kawasan terjejas terutamanya di Jalan Segambut dan Jalan Ampang di hadapan Air Terjun Bukit Nanas yang merupakan kawasan rendah dari paras sungai.

DBKL akan menambah sebanyak 5,000 beg pasir untuk ditempatkan di kawasan-kawasan baharu yang dikenal pasti yang mempunyai keberangkalian berlakunya banjir kilat serta di lokasi-lokasi sedia ada sebagai langkah- langkah pencegahan.

Melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Wilayah Persekutuan (JPBNWP) yang turut dianggotai DBKL akan meneruskan usaha seperti yang dirancang dan telah dilaksanakan bagi mengurangkan lagi kejadian banjir kilat termasuklah beberapa tindakan mitigasi seperti pembinaan dinding tebatan banjir (flood wall)di lokasi-lokasi terpilih di sepanjang Sungai Klang dan Sungai Gombak serta penggunaan ‘flap gate’ bagi menghalang pengaliran semula air dari Sungai Klang ke kawasan-kawasan yang lebih rendah.

Projek ini akan dilaksanakan oleh DBKL dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

THE Flying Squad DBKL diletakkan dalam keadaan siap siaga di salah satu hot spot banjir kilat di ibu negara.

Bagi mengatasi masalah ini untuk jangka masa pendek, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan DBKL akan melantik lebih ramai lagi sukarelawan bagi membantu aktiviti ‘plogging’ dan kerja-kerja pembersihan yang ternyata berkesan dalam membantu mengurangkan banjir kilat.

Syarikat Alam Flora Sdn Bhd juga telah diminta untuk menambah kekerapan jadual kutipan sampah di samping memantau dan membantu melaporkan kepada  pihak DBKL jika terdapat kawasan-kawasan lambakan sampah pembinaan ke dalam longkang yang berpotensi menjadi punca banjir kilat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas