Biz

Selepas labur RM5 juta untuk wisma… IDW bakal bina kilang

|MAJLIS perasmian Wisma IDW di Setia Alam
- Diterbit 4 Jun 2022 7:13 AM MYT

TERUS menjadi inspirasi ramai usahawan lain, Syarikat reka bentuk dalaman, IDW Design & Build Sdn. Bhd. (IDW) bakal mempunyai kilang sendiri tidak lama lagi.

Pengasas IDW, Lokman Hakim Ahmad Subki berkata, pihaknya bercadang membina sebuah kilang untuk melengkapkan serta memudahkan pengoperasian dengan menawarkan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan.

MAJLIS perasmian Wisma IDW di Setia Alam, Selangor,  baru-baru ini.

“Buat masa ini, syarikat sedang mengenal pasti beberapa lokasi yang sesuai bagi pembinaan kilang tersebut.

“Jika tidak bina kilang, mungkin kita akan cuba beli saham syarikat yang telah lama menjalankan perniagaan tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Wisma IDW di Setia Alam, Selangor,  baru-baru ini.

LOKMAN Hakim dan isteri ditemubual dalam sesi sidang media.

Selain itu, apa yang boleh dibanggakan apabila IDW mengunjurkan perolehan mencecah kepada RM30 juta pada tahun ini.

Menurut Lokman Hakim lagi, misi untuk mencapai nilai tersebut bersandarkan kepada jumlah projek yang diterima ketika ini, susulan pembukaan semula ekonomi negara sejak beberapa bulan lalu.

“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa, banyak projek pelanggan kami tidak dapat dibuat, namun bersyukur kerana kebanyakan pelanggan tidak pernah meminta kami memulangkan wang semula yang telah dibayar.

“Mereka memahami situasi tersebut kerana bukan kami yang melengah-lengahkan tempahan yang dibuat mereka, tetapi keadaan pada ketika itu menyebabkan kami tidak dapat memulakan kerja,” katanya.

SELEPAS menubuhkan wisma dengan kos RM5 juta, IDW bakal membina kilang sendiri.

Lokman Hakim menerangkan, hampir 90 peratus daripada tempahan yang diterima adalah daripada pelanggan individu untuk pelbagai jenis projek rekaan kediaman, pejabat dan resort.

Terdahulu Lokman telah membeli wisma yang bernilai kira-kira RM5 juta pada tahun 2020.

Ia bertujuan menampung keperluan pekerja dengan menawarkan suasana pejabat yang lebih kondusif, tempahan projek yang semakin bertambah.

Selain membina jenama di pasaran, ia berpotensi memberi ruang kepada pelanggan untuk melihat seni reka dalaman kediaman atau pejabat serta membolehkan pelanggan berbincang dengan lebih baik dengan kumpulan pemasarannya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas