Berita

“Semuanya Berlaku Sekelip Mata. Tak Terfikir Jadi Kekasih” – NORYN AZIZ

|
- Diterbit 14 Oktober 2020 8:54 AM MYT

PENYANYI Noryn Aziz,44, meluahkan rasa bertuahnya bersuamikan  Shaik Rizal Sulaiman yang dianggap sebagai pelangkap hidupnya.

Bermula sebagai kenalan perniagaan pada penghujung 2019, kemudian mereka rapat  pada pertengahan tahun ini dan akhirnya sah sebagai suami isteri.

Menurut Noryn, Rizal,48,  yang juga ahli perniagaan dalam industri pembangunan dan pembinaan sangat memahami dan sentiasa menyokongnya.

“Semuanya berlaku sekelip mata. Baik saya dan Rizal sendiri pada awalnya tak ada pula terfikir untuk menjadi kekasih. 

“Hubungan kami benar-benar secara profesional namun suami saya banyak mendorong saya untuk lebih berjaya dalam industri seni sehinggalah lama-kelamaan saya dapat rasakan kehadiran Rizal amat menyenangkan saya dan juga keluarga terdekat. 

“Keperibadiannya memikat saya. Dia seorang yang sangat positif dan banyak memberi sokongan moral yang padu kepada saya dalam segala urusan bisnes saya.

“Selepas beberapa bulan kami menjadi lebih akrab (terutama sekali dalam waktu MCO bermula Mac lalu), banyak bercerita soal masa depan yang akhirnya kami sepakat untuk mengakhiri hubungan persahabatan kepada ikatan yang lebih suci,” kata Noryn kembali berstatus isteri malam tadi (13 Oktober 2020).

SEMOGA Noryn dan Rizal bahagia hingga ke akhir hayat

Pasangan ini diijabkabulkan dalam majlis akad nikah yang hanya dihadiri oleh keluarga terdekat serta rakan-rakan rapat seramai 30 orang di kediaman Rizal di Bukit Damansara.

Noryn yang menerima mas kahwin berupa sebentuk cincin ini juga memberitahu mereka sepatutnya bernikah pada 25 Oktober ini, namun diawalkan kerana  pelaksanaan  semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 14 Oktober hari ini. 

“Alhamdulillah segala persiapan dapat dilaksanakan dengan baiknya dalam jangka masa 24 jam dengan pertolongan padu kaum keluarga terdekat, sahabat-sahabat handal dan juga ahli “team” saya semuanya. 

“Hajat dan keinginan itu tercapai dan dipermudahkan oleh Allah SWT. Kami bersyukur kerana semuanya diatur dengan mudah. Saya percaya semua ini kerana kebesaran Allah.

“Kepada rakan-rakan media, terima kasih atas sokongan dan doa buat kami berdua. 

“Saya cuma berharap perkahwinan kami dapat dihormati tanpa apa-apa gosip dan fitnah yang tidak diingini. 

“Kami amat pentingkan soal privasi kami secara peribadi dan keluarga amnya,” jelasnya lagi yang turut berterima kasih kepada jawatankuasa perkahwinannya, pereka pakaian Rizman Ruzaini, dekorasi daripada Melur Putih Dekor, jurumekap Sheila Mohamad, penata gaya Tym Fatimah dan pengurusnya, Suraya Albukhary. 

Semoga Noryn dan Rizal terus bahagia  hingga ke akhir hayat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas